Penubuhan Merdeka Kuartet akan bantu promosi sambutan Hari Kemerdekaan

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Penubuhan Merdeka Kuartet adalah bertujuan membantu jentera publisiti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dalam memotivasikan Keluarga Malaysia daripada semua kaum untuk turut serta dalam sambutan itu selepas dua tahun tidak diadakan secara besar-besaran.

Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan, Datuk E Sivabalan berkata, penubuhan kuartet buat julung kali itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Rabu lepas.

“Kami akan mengenal pasti slot rancangan di televisyen dan radio untuk kumpulan Merdeka Kuartet ini pergi secara berkumpulan dan menerangkan mengenai sambutan pada tahun ini. Saravanan dan Wee Ka Siong masing-masing akan menyampaikan maklumat dalam bahasa Tamil dan Mandarin.

“Ini satu daripada kemahuan politik kami. Menteri kabinet akan bersama-sama rakyat dan menjadi inspirasi kepada Keluarga Malaysia,” katanya pada rancangan Ruang Bicara bertajuk Kempen Kibar Jalur Gemilang 2022 terbitan Bernama TV, pada Khamis.

Sementara itu, Sivabalan berkata, penyertaan rakyat dalam sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini memberangsangkan selepas pelancarannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 Julai lepas.

Beliau berkata, ia terbukti apabila program Berjalan Teguh Bersama yang diadakan di Putrajaya, Sabtu lepas mencatatkan penyertaan 15,000 orang iaitu melebihi sasaran 10,000 orang.

Mengenai kempen Kibar Jalur Gemilang pula, Sivabalan berkata, Keluarga Malaysia diingatkan supaya mengibarkan bendera kebanggaan negara itu kerana ia merupakan simbol martabat dan penghormataan kepada semangat nasionalisme.

“Kami berharap Keluarga Malaysia akan kibarkan Jalur Gemilang di mana sahaja mereka berada baik di kediaman, premis perniagaan mahupun pejabat,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply