PAS Dakwa ada pihak sentiasa buat gerakan untuk jatuhkan mereka

Hebahkan !!!

KOTA BHARU – Agenda dan gerakan pihak yang cuba untuk menjatuhkan PAS adalah perkara biasa dalam politik, terutama ketika menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata justeru semua pihak khususnya rakyat diingatkan teliti terlebih dahulu dengan sebarang maklumat atau isu yang dimainkan pihak pembangkang bagi mengetahui kesahihannya.

Katanya, beliau melihat gerakan untuk melawan atau menjatuhkan kerajaan adalah perkara biasa dalam politik memandangkan Malaysia adalah sebuah negara demoktrasi.

“Setiap kali hendak PRU, akan ada gerakan baharu dengan bermacam-macam nama dan biasalah, bukan sahaja di Kelantan tetapi di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan 2022 oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Dataran Warisan, pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata, dalam konteks Kelantan, kebanyakan isu yang dimainkan ialah isu lama yang diulang, bahkan hampir kesemua isu berkenaan sudah dijelaskan oleh pihak kerajaan negeri sama ada dalam ucapan ataupun persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Mungkin bagi sebahagian rakyat yang tidak mengikuti kenyataan daripada pimpinan negeri dan juga persidangan DUN berasakan ia perkara baharu.

“Namun sebenarnya jika dirujuk, ia sebenarnya sudah dijawab. Contohnya mengenai isu air di mana saya sudah banyak mengeluarkan kenyataan serta jawapan dalam persidangan DUN dan turut menjelaskan apa usaha yang dibuat kerajaan, perancangan dan pendekatan bagi menyelesaikan isu air,” katanya.

Mohd Amar berkata, pihaknya menerima sebarang kritikan namun haruslah berlandaskan maklumat yang jelas dan bukan sekadar mengikut sentimen semasa.

“Justeru, saya harap orang ramai khususnya generasi muda lebih matang dan bijaksana dalam memberi kritikan terhadap kerajaan.

“Kebebasan bersuara adalah prinsip asas dalam amalan demokrasi di negara ini namun, jika dakwaan itu berselisih dengan maklumat jelas ia dapat menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat ini PAS belum memuktamadkan calon untuk bertanding pada PRU-15.

© Berita Harian

Leave a Reply