Mahasiswa tercicir boleh sambung pengajian

Hebahkan !!!

(MAHASISWA institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tercicir dalam pengajian boleh memohon untuk menyambung semula pengajian melalui UPUOnline. – Gambar Hiasan)

Oleh Rohana Man

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak pernah meminggirkan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang gagal menamatkan pengajian atau tercicir akibat pandemik COVID-19.

Sebaliknya, KPT sentiasa prihatin dan mengambil berat kebajikan pelajar yang terpaksa meninggalkan kampus kerana pelbagai kekangan berpunca daripada penularan wabak penyakit tersebut.

Menerusi inisiatif tersebut, pelajar terbabit boleh memohon untuk menyambung semula pengajian melalui UPUOnline.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi membantu pelajar universiti meneruskan pengajian sehingga tamat pengajian.

“Tiada masalah untuk mana-mana pelajar yang terpaksa menangguhkan pengajian menyambung pengajian di universiti masing-masing,” katanya ketika menjawab soalan lisan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PKR-Johor Bahru) mengenai langkah kementerian dan IPTA membantu pelajar tercicir termasuk yang tidak dapat meneruskan pengajian atau terpaksa menangguhkan pengajian akibat pandemik COVID-19 di Parlimen, semalam.

Noraini turut menyatakan jumlah pelajar yang gagal menamatkan pengajian bagi tempoh 2018 hingga 2019 adalah kira-kira 42,000.

Daripada jumlah itu, hanya kira-kira satu peratus tidak bergraduasi kerana gagal peperiksaan.

Bagi memberi peluang pelajar tercicir meneruskan pengajian, KPT menawarkan program Gap Year kepada mereka yang tidak mahu meneruskan pengajian tetapi berminat menceburi bidang perniagaan atau pekerjaan.

“Kami di KPT ada satu program. Kalau pelajar rasa mereka belum nak sambung belajar tapi nak teruskan dalam bidang perniagaan atau kerja, itu dibenarkan.

“Itu kita panggil program Gap Year dan dilaksanakan dalam jangka masa tertentu, khusus untuk membolehkan pelajar menerokai pelbagai bidang,’ katanya sambil menyatakan pelajar terbabit boleh menyambung semula pengajian yang tertangguh sebaik sahaja selesai mengikuti program Gap Year.

Noraini menambah, kementerian menerusi IPTA juga menyediakan program intervensi akademik seperti sistem penasihat akademik bagi membantu pelajar meneruskan pengajian di universiti masing-masing.

“KPT turut menawarkan program bukan intervensi akademik seperti perkhidmatan kaunseling individu dan berkelompok, sistem buddy serta program motivasi, program mentor mentee, Academic Special Programme dan program kesedaran yang diberi kepada pelajar dari semasa ke semasa,”katanya.

Selain itu, katanya, kementerian juga menyediakan kursus Microcredentials yang mana sijil kursus tersebut membolehkan pelajar membuat pemindahan kredit apabila mendaftar ke program pengajian di IPTA.

“KPT turut menyediakan laluan alternatif kemasukan ke IPTA melalui program Accreditation of Prior Experiental Learning (APEL.A).

“Jadi, tiada masalah untuk pelajar tercicir menyambung semula pengajian di universiti,” katanya.

-tamat-

Leave a Reply