UITM, tiga universiti Turki jalin kerjasama

Hebahkan !!!

(Dr. Ahmad Rashidy Razali (kiri) bergambar bersama Dr. Ismail Kucuk selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Istanbul,Turki baru-baru ini.)

Oleh Azrin Muhammad

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang melebarkan jaringan kolaboratif dengan tiga buah universiti di Turki yang akan memberi fokus terhadap kepakaran dalam bidang penyelidikan dan mobiliti pelajar.

Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik) UiTM Pulau Pinang, Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Rashidy Razali berkata, tiga buah universiti yang terlibat ialah Universiti Istanbul Sabahattin Zaim (IZU), Universiti Canakkale Onsekiz Mart (COMU) dan Universiti Eskisehir Osmangazi (ESOGU).

“UiTM telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan IZU dan ia sesuai dijadikan sebagai pembuka jalan melaksanakan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan dan mobiliti pelajar.

“Kerjasama ini antara lain akan meningkatkan kompetensi global universiti dalam merealisasikan agenda pelan strategik UiTM 2025 (GRU2025),” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU yang berlangsung di IZU, Turki, baru-baru ini.

Terdahulu, Ahmad Rashidy mengetuai delegasi UiTM yang terdiri daripada enam wakil dari Jabatan Pengurusan dan Perniagaan, Hotel dan Pelancongan serta Pengajian Islam Kontemporari.

Sementara itu, Timbalan Rektor IZU, Prof. Dr. Ismail Kucuk berkata, peluang kerjasama tersebut dapat meningkatkan prestasi universiti melalui penyelidikan bersama, pertukaran pelajar, penganjuran persidangan dan seminar antarabangsa.

Siri kunjungan itu juga menyaksikan pertemuan secara bersemuka antara UiTM dengan COMU dan ESOGU di universiti masing-masing yang memberi fokus kepada perancangan komprehensif serta projek akademik berskala besar.

-tamat-

Leave a Reply