Polis tumpaskan sindiket tawar kerja jual barang yang tidak wujud

Hebahkan !!!

SEPANG – Polis menumpaskan satu sindiket penipuan tawaran kerja dengan menjual barangan tidak wujud melalui laman sesawang, membabitkan kerugian kira-kira RM800,000 berikutan penahanan lima individu, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata mereka yang ditahan dalam serbuan jam 11.45 pagi itu, empat warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita serta seorang lelaki warga Thailand.

Katanya, sindiket itu dikesan beroperasi sejak beberapa bulan lalu dengan menawarkan kerja sebagai jurujual kepada mangsa untuk memasarkan barangan tidak wujud dalam talian yang dicipta oleh sindiket berkenaan.

Beliau berkata, jurujual ditawarkan dengan gaji lumayan termasuk komisen 10 peratus bagi setiap barangan yang berjaya dipasarkan.

“Sindiket ini menggunakan laman sosial dan aplikasi sembang WhatsApp untuk menawarkan pekerjaan berkenaan dengan sasaran terhadap pelajar universiti.

“Kami menjalankan risikan selama sebulan sebelum menyerbu ke unit kediaman yang dijadikan sebagai pusat operasi sindiket berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, sindiket itu menggunakan 22 akaun keldai membabitkan kerugian 31 pembeli berjumlah RM843,996.

Dalam operasi itu, katanya, polis merampas lima komputer riba dan lima telefon bimbit untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, sindiket itu terbongkar selepas jurujual yang kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar universiti tidak lagi menerima komisen selepas tiga kali pembayaran, selain menerima laporan daripada pembeli yang tidak menerima barangan yang dibeli dalam laman sesawang terbabit.

Antara kerugian tertinggi yang direkodkan membabitkan wang RM49,000 oleh seorang pelajar di sebuah universiti di Cheras.

Katanya, polis menerima sebanyak 31 laporan daripada mangsa dan pembeli dari seluruh negara termasuk masing-masing satu di Sabah dan Sarawak.

“Lima suspek berusia antara 17 hingga 32 tahun itu ditahan reman tiga hari bermula Rabu sehingga esok bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Wan Kamarul Azran berkata, polis tidak menolak kemungkinan ketua sindiket adalah antara lima individu yang ditahan atau ada individu lain di luar namun identitinya akan diketahui selepas siasatan lanjut dijalankan.

Katanya, pemilik 22 akaun itu juga akan dipanggil bagi membantu siasatan dan proses pembekuan akaun sedang dijalankan.

“Sindiket penipuan tawaran kerja ini adalah kes pertama direkodkan pada tahun ini di IPD Sepang dan disiasat dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

© Berita Harian 

Leave a Reply