Polis siasat dakwaan ada anggota Polis periksa mangsa dan minta sogokan RM100

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan tindakan anggota polis memeriksa telefon bimbit dan meminta RM100 di sekitar pusat beli-belah Mid Valley di sini semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku membabitkan tiga anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan tersebut sebelum menahan lelaki.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya sedang mengesan individu terbabit selepas kenyataannya tular di media sosial.

“Individu itu mendakwa telah ditahan tiga anggota polis sebelum mereka memeriksa telefon bimbitnya dan mengetahui dia telah memenangi RM4,300 menerusi aplikasi MKT (beli nombor ekor).

“Anggota berkenaan didakwa telah meminta RM100 untuk setiap seorang dan akibat tidak berpuas hati dengan kejadian tersebut, lelaki itu telah memuat naik kejadian di media sosial,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, pihaknya sedang mengesan individu tersebut untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Polis juga ingin menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan segera melaporkan kegiatan penyalahgunaan kuasa oleh anggota Polis Diraja Malaysia ke balai berdekatan.

“Polis tidak menjalankan pemeriksaan terhadap telefon bimbit di jalanan melainkan untuk tujuan siasatan. Sebarang maklumat bolehlah disalurkan ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999,” jelasnya.

© Kosmo 

Leave a Reply