Hattan marah segelintir pihak mahu kritik vokal Ning Baizura

Hebahkan !!!

Penyanyi ‘otai’, Datuk Hattan menempelak segelintir pihak yang mengkritik mutu vokal Ning Baizura melalui rakaman video tular, baru-baru ini.

Hattan berpendapat tidak wajar menghentam persembahan mana-mana penyanyi hanya berpandukan video tular hingga memberi gambaran seolah-olah penghibur terbabit gagal membawa lagu sendiri.

Hattan atau nama sebenar, Mohd Shukri Shahabudin, 57, simpati dengan nasib menimpa Ning. Hattan percaya tiada penghibur yang sengaja mahu merosakkan imej dan kredibiliti sebagai penyanyi.

“Saya tak suka tengok orang bantai dan buli Ning. Awak ingat dia sengaja menyanyi macam itu? Saya fikir tidak. Kadang-kadang, mereka (penyanyi) juga tidak mahu jadi seperti itu.

“Saya tengok video Ning itu. Bagi saya, apabila kita capai suatu tahap umur, dia hilang ‘head voice’ itu. Jadi, Ning perlu merujuk guru vokal untuk mendapatkan kekuatan vokalnya semula.

“Saya tidak salahkan Ning. Mungkin Ning sudah terlampau letih. Apa yang saya baca, Ning sudah nyanyi 20 lagu untuk empat malam berturut-turut.

“Maafkan dia… penyanyi perempuan kalau sudah bersalin, susah hendak menyanyi seperti biasa,” katanya mengulas rakam video viral memaparkan Ning mendedangkan lagu popularnya, Awan Terpilu di sebuah premis hiburan yang dikritik netizen, baru-baru ini.

Hattan tidak menolak faktor usia dan keletihan memberi kesan dalam setiap persembahan penyanyi. Malah, Hattan pernah berdepan situasi sama apabila kualiti nyanyiannya terganggu apabila emosi menguasai diri.

Sehubungan itu, Hattan menasihatkan mana-mana penyanyi termasuk veteran agar terus mempelajari teknik vokal dan mengamalkan kehidupan sihat.

“Saya perokok. Tetapi saya berhenti hisap rokok kira-kira tiga bulan sebelum menjayakan Konsert Hattan 35 Years Journey, Jun lalu.

“Saya juga bersenam dan berenang setiap hari. Selain itu, saya amalkan ‘jogging’ antara lapan hingga 10 kilometer setiap hari sebelum konsert,” katanya.

Hattan berkata, dia merujuk kepada gurunya, Datuk M Nasir dalam aspek kawalan vokal.

“Selain itu, elak makanan berminyak sebelum naik pentas. Saya juga berdoa setiap hari supaya Allah berikan saya kekuatan,” katanya pada majlis tayangan media filem terbaru lakonannya, Gadis Jolobu The Movie di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Mengulas lanjut pembabitannya dalam filem komedi itu, Datuk Hattan mengakui berpuas hati menghidupkan watak Atan.

“Pada awalnya, saya beri idea naskhah berat yang memaparkan budaya Negeri Sembilan. Banyak adat yang saya hendak tambah.

“Namun, pengarah CL Hor beritahu, tidak boleh bikin filem berat kerana nanti hanya ditonton orang Negeri Sembilan,” katanya.

Hattan berpuas hati dengan filem Gadis Jolobu yang dianggapnya versi moden filem Bujang Lapok lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Hattan berterima kasih kepada penerbit, Zebra Studios yang merealisasikan ideanya menghasilkan filem berkenaan.

“Saya harap filem ringan senang ditonton. Penonton akan berhibur sebab dialek Negeri Sembilan yang dituturkan membuatkan filem ini kelakar,” katanya.

Gadis Jolobu The Movie dihasilkan susulan kejayaan lagu duet Hattan bersama W.A.R.I.S, Gadis Jolobu yang meraih tontonan hampir 10 juta di YouTube.

Filem kerjasama Zebra Studio Sdn Bd dan Tremendous Entertainment yang diarahkan oleh CL Hor itu menemui penonton di pawagam, mulai hari ini.

© Berita Harian 

Leave a Reply