Beberapa jambatan dan tebing sungai runtuh hujan lebat di Jepun

Hebahkan !!!

TOKYO, Jepun – Beberapa jambatan dan tebing sungai runtuh selepas hujan lebat membadai utara Jepun hari ini, ketika pihak berkuasa menggesa 200,000 penduduk berpindah berikutan ancaman banjir yang bahaya.

Rakaman televisyen menunjukkan sungai berlumpur bersama cebisan pokok mengalir deras ke arah penempatan penduduk di kawasan pergunungan akibat hujan lebat itu, yang memecah rekod di beberapa kawasan.

Jurucakap kanan kerajaan Jepun, Hirokazu Matsuno, memaklumkan dua individu dilaporkan hilang setakat ini, manakala pihak berkuasa memberi amaran mengenai peningkatan risiko tanah runtuh dan banjir.

Media penyiaran NHK melaporkan, nasihat pemindahan dikeluarkan kepada 200,000 penduduk di lima wilayah iaitu Niigata, Yamagata, Fukushima, Ishikawa dan Fukui.

Rakaman televisyen lain menunjukkan rumah dinaiki air daripada sungai yang melimpah, selain ada aliran sungai berlumpur meningkat sehingga mencecah paras jambatan.

Operasi beberapa kereta api shinkansen (kereta api berkelajuan tinggi Jepun) di kawasan terbabit pula digantung.

Saintis memaklumkan, perubahan iklim meningkatkan risiko hujan lebat di Jepun dan beberapa kawasan lain kerana atmosfera yang lebih panas menyimpan lebih banyak air.

Hujan lebat tahun lalu mencetus tanah runtuh di bandar peranginan Atami yang meragut 27 nyawa, manakala pada 2018, banjir dan tanah runtuh menyebabkan lebih 200 individu terkorban di barat Jepun ketika musim hujan di negara itu.

Leave a Reply