Mohamed Salah berdiri terpesona di depan muralnya sendiri

Hebahkan !!!

LIVERPOOL, England – Siapa tidak kenal Mohamed Salah yang mengemudi kejayaan Liverpool meraih pelbagai kejuaraan termasuk juara Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara serta terbaru memenangi Perisai Komuniti mengatasi Manchester City hujung minggu lalu.

Pemain berasal dari Mesir itu diibaratkan legenda kelab yang masih beraksi dengan setiap sentuhannya diiringi sorakan padu penyokong Merseyside kerana gerakan dihasilkannya sering kali mampu menggembirakan mereka yang dahagakan kejuaraan.

Tidak hairan Salah dipilih oleh peminat dalam satu undian yang diadakan kumpulan penyokong Spion Kop 1906 untuk menjadi fokus mural di Jalan Anfield, bertentangan sebuah pub bernama King Harry.

Robbie Fowler, Andy Robertson, Ian Rush, Phil Thompson dan Virgil van Dijk turut disenaraikan dalam undian itu namun Salah ternyata mendominasinya.

Mural gergasi yang memaparkan gaya Salah meraikan jaringan itu disiapkan dalam tempoh sembilan hari pada Mac lalu oleh seniman terkenal tempatan John Culshaw.

Dia mula melukis mural pada 21 Mac sebelum disiapkan pada 30 Mac.Culshaw sebelum ini pernah melukis mural legenda Liverpool termasuk Steven Gerrard, Kenny Dalglish, Bill Shankly dan pengendali semasa Juergen Klopp.

Namun baru semalam Salah berkesempatan melihat sendiri secara dekat nukilan mural yang ditujukan khas kepadanya itu.

Dalam satu hantaran di laman Instagram, Salah yang memakai t-shirt berwarna putih kelihatan terpegun melihat dua mural memaparkan dirinya di dinding bangunan warga tempatan.

Bangunan itu terletak tidak jauh dari Anfield, gelanggang The Reds apabila beraksi di tempat sendiri.Perkongsian terbaharu Salah, yang mempunyai 52.3 juta pengikut di laman Instagram, mendapat 845,000 tanda suka dan lebih 6,000 komen.

Menyertai Liverpool sejak 1 Julai 2017, Salah kini sudah mengumpul tujuh trofi utama bersama kelab Anfield itu termasuk Liga Perdana Inggeris (2020), Liga Juara-Juara (2018-19), Piala FA Inggeris (2022), Piala Liga Inggeris (2022), Piala Dunia Kelab (2019), Piala Super Eropah (2019-20) dan Perisai Komuniti baru-baru ini.

Leave a Reply