MB Selangor mohon maaf andai PRU15 diadakan sebelum sempat Sidang DUN

Hebahkan !!!

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memohon ampun dan maaf kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari kerajaan dan pembangkang, sekiranya Parlimen dan DUN dibubarkan lebih awal daripada tempoh berakhirnya Mei 2023.

Beliau menyatakan permohonan maaf itu berikutan ada ura-ura Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri akan berdepan kemungkinan dibubarkan sebelum persidangan akan datang.

“Saya percaya ura-ura mengatakan bahawa kita akan berdepan kemungkinan terbubarnya Dewan Negeri sebelum sidang akan datang.

“Jadi, kalau perkara itu berlaku, saya ingin mohon ampun dan maaf sepanjang persidangan dan sepanjang saya mengetuai kerajaan.

“Namun, kalau ia (PRU) tak jadi dan sebagainya, kita jumpa lagi pada November nanti sebagai sidang untuk belanjawan negeri Selangor,” katanya ketika mengemukakan usul penangguhan sidang DUN Kali Kedua tahun 2022 di sini, hari ini.

Sidang DUN Selangor yang bermula 25 Julai lalu dan sepatut tamat 5 Ogos ini ditangguhkan lebih awal berikutan semua aturan urusan mesyuarat selesai tengah hari ini.

Dalam usul penangguhan itu juga Amirudin berterima kasih kepada dua belah pihak sepanjang sidang DUN yang dianggapnya sebagai mesyuarat yang sedikit hambar kerana tidak mempunyai elemen menarik.

Namun, katanya, DUN Selangor sekali lagi mencipta sejarah kerana dapat menjadikan setiap sesi yang bermakna dengan pembentangan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Kata beliau, RS-1 adalah pelan jangka sederhana kerajaan negeri dan juga rakyat Selangor ke arah tahun 2025.

“Di samping itu, kita berterima kasih juga kepada semua yang telah bekerjasama menyampaikan segala usaha dan ikhtiar untuk menjayakan misi kita pada tahun 2025 setelah kita merintangi beberapa halangan, kekangan dan cabaran.

“Kita berdepan cabaran bencana banjir tahun lepas, cabaran pandemik Covid-19 yang melanda hampir dua setengah tahun dan pelbagai perkara baru yang dihadapi.

“Sekali lagi saya ucapkan terima kasih di atas komitmen seluruh ADUN kerajaan dan pembangkang dan saya ingin mengalu-alukan semua untuk bersama-sama dari semasa ke semasa terlibat aktif dalam jawatankuasa yang ditubuhkan sebagai satu proses semak dan imbang.

© Malaysia Gazette

Leave a Reply