Jumlah keseluruhan kes muflis sejak 2020 hiingga Mei lebih 17,000 kes

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan kes muflis dicatatkan sejak 2020 hingga Mei 2022 adalah sebanyak 17,599 kes, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata Selangor mencatatkan jumlah negeri tertinggi kes muflis iaitu sebanyak 4,164 kes.

“Ia diikuti dengan Wilayah Persekutuan (2,203) dan Johor (1,987),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menjawab pertanyaan Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar).

Mujahid bertanyakan berapa bilangan rakyat yang diisytiharkan muflis mulai Januari 2020 hingga Mei 2022 mengikut umur, jantina dan kaum.

Beliau juga bertanya sama ada kerajaan bercadang membuat polisi baharu bagi mengelakkan lebih ramai yang diisytihar muflis di usia muda.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata bagi kategori umur pula, jumlah tertinggi kes muflis adalah dalam kalangan mereka berumur dari 35 hingga 44 tahun iaitu melibatkan 6,681 kes.

Katanya, mengikut jantina, lelaki paling banyak terlibat kes muflis iaitu sebanyak 12,970 kes.

Manakala bagi mengikut kategori bangsa, Melayu paling banyak terlibat kes muflis iaitu sebanyak 10,267 dan diikuti Cina (4,447), lain-lain (1,516) serta India (1,321).

Wan Junaidi juga berkata melalui Akta Insolvensi (Pindaan) 2020 [Akta A1624], nilai minima (threshold) kebankrapan telah dinaikkan melalui pindaan kepada peruntukan seksyen 5(1)(a) Akta 360 yang telah diwartakan pada 22 Okt 2020 dan berkuat kuasa sejak 1 Sept 2021.

Leave a Reply