Formula bakul sampah Rafizi akan bawa beban, sedap didengar tapi bakal bawa kesusahan

Hebahkan !!!

Oleh: Khairul Misran

Formula dan janji yang akan dicanang seluruh negara oleh Pakatan Harapan (PH) nanti untuk menarik hati rakyat sudah pasti akan dipenuhi janji manis yang sedap didengar tetapi ia akan begitu susah untuk dilaksanakan malah akan lebih membawa beban.

Untuk menukilkan satu cerita fiksyen dengan jalan cerita menarik amat mudah tetapi untuk mengubah apa yang dirancang jadi tindakan bukan semudah apa yang disangkakan.

PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kali ini akan sekali lagi menggunakan otak Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk cuba memujuk rakyat supaya termakan dengan janji manis seterusnya akan menanggung akibat selepasnya.

Itu realiti yang terjadi selepas PRU14 apabila janji yang dimaktubkan dalam ‘Janji 100 Hari’ mereka yang gagal ditunaikan walaupun sudah menang pilihan raya umum di Malaysia.

Pada masa itu semua jenis gula-gula ada sehingga hutang pinjaman pelajaran melalui Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) juga dijanji untuk dilupuskan semua sekali dan tidak perlu membayar balik.

Bayangkan impaknya kepada ekonomi apabila hutang PTPTN berbilion dimansuhkan begitu sahaja. Kalau dulu melalui perancangan Bina Negara, Rafizi menyatakan bahawa ia boleh dilakukan tetapi tidak menerangkan bagaimana dan sumber mana yang akan diambil untuk melaksanakan langkah berkenaan.

Pengundi kena tahu bahawa skrip sama akan berulang kembali pada PRU15 nanti. Janji boleh ditulis sesuka hati dengan bunyi yang menyedapkan telinga tetapi apabila mahu dilaksanakan belum ada parti yang terbukti mampu melaksanakan janji seperti yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN).

Melalui kempen Ayuh Malaysia yang dipelopori oleh Rafizi, sekali lagi formula dan cerita akan sedap didengar.

Padahal idea itu semua idea di “luar tabii” kerana mengikut fitrah dan situasi semasa kerajaan, ia bukan mudah untuk dilaksanakan.

Sudahnya idea yang akan dikemukakan nanti akan dicampak ke dalam tong sampah dan rakyat merana.

BN akan melihat sesuatu manifesto itu boleh dilaksanakan sejak awal dan ia mengikut realiti keadaan semasa kerana berniat semata-mata mahu jadi populis akan menjahanamkan negara sahaja.

Manifesto BN biasanya sudah tersedia memandangkan perancangan awal kerajaan untuk membangunkan negara juga sudah dirancang dan digerakkan lebih awal supaya pembangunan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Manifesto PH yang akan diilhamkan oleh Rafizi pula akan dihasilkan ikut situasi semasa ketika PRU hendak diadakan untuk memenuhi ketamakan pengundi dan bukan keperluan mereka yang lebih realistik.

Cukuplah sekali sudah gagal dan merana, jangan cuba-cuba untuk kali kedua supaya tidak nanti jadi menyesal selama-lamanya.

Leave a Reply