Kertas siasatan kes rogol babitkan penceramah bebas diserahkan kepada Pendakwa Raya

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan membabitkan penceramah bebas yang disyaki merogol seorang remaja perempuan bawah umur dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata kertas siasatan itu dirujuk untuk penelitian sebelum menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan.

“Kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini untuk semakan dan kami tunggu arahan seterusnya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 28 Julai lepas, Azmi dilaporkan berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu diserahkan kepada Kontinjen Perak selepas tempoh remannya tamat pada 27 Julai bagi siasatan kes di Kuala Lumpur.

Media sebelum ini melaporkan penceramah bebas itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 4.50 petang pada 18 Julai lepas dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Berdasarkan siasatan awal, perkenalan antara suspek dan remaja bawah umur itu dipercayai bermula apabila mangsa menghubungi lelaki terbabit di media sosial bagi bertanyakan masalah agama sebelum hubungan terjalin sejak Mei tahun lepas.

Setakat ini terdapat empat laporan polis membabitkan individu itu iaitu dua di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak.

© Astro Awani 

Leave a Reply