Orang terima bantuan JKM bertambah 445,000 orang, kata Timbalan Menteri

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Jumlah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun ini meningkat kepada 445,000 orang dengan nilai peruntukan RM2.4 bilion setahun, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Yusoff.

Beliau berkata, ia melibatkan pertambahan peruntukan sebanyak RM200 juta berbanding tahun sebelumnya dan selaras keputusan kerajaan menggunakan Paras Garis Kemiskinan (PGK) Makanan 2019 iaitu RM1,169 berbanding RM980.

“Susulan perubahan kenaikan PGK sebelum ini, daripada RM908 kepada RM1,169, dianggarkan berlaku peningkatan kadar kelayakan sebanyak 5% setahun untuk penerima bantuan.

“Jadi, ia meningkat RM200 juta berbanding dengan tahun sebelum ini atau melibatkan kos sebanyak RM12 bilion untuk lima tahun,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan tambahan Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) adakah PGK Makanan 2019 tidak relevan ketika ini berikutan pandemik Covid-19 dan inflasi.

Salim berkata, beliau bimbang kadar bantuan kewangan diberikan tidak mencukupi bagi penerima sedia ada untuk berdepan dengan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup.

Dalam perkembangan lain, Siti Zailah memaklumkan, Bantuan Kanak-Kanak (BKK) yang dinaikkan daripada RM100 kepada RM150 telah memberi manfaat kepada 65,599 keluarga miskin, melibatkan peruntukan sebanyak RM165.53 juta yang disalurkan sehingga Jun lalu.

Katanya, manakala seramai 89,075 dalam kumpulan itu menerima Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) dengan peruntukan RM160.2 juta dalam tempoh sama.

“Elaun Pekerja OKU (EPOKU) sebanyak RM450 memberi manfaat kepada 95,820 OKU yang bekerja dengan RM257.9 juta peruntukan disalurkan sehingga Jun lalu.

“Bantuan Warga Emas (BWE) sebanyak RM500 memberi manfaat kepada 138,949 warga emas dengan peruntukan RM421.2 juta bagi tempoh sama. Manakala, seramai 26,163 Penjaga OKU dan Pesakit Terlantar telah menerima manfaat dengan RM79.4 juta peruntukan,” katanya.

© FMT 

Leave a Reply