Jururawat hospital swasta didakwa bunuh bayi sendiri berusia 8 bulan
SUNGAI SIPUT – Seorang jururawat hospital swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan membunuh bayi kandungnya yang berusia lapan bulan, dua minggu lalu.
Tertuduh, T Rebekal, 30, mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu, namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa membunuh, dengan menyebabkan kematian kepada J Melvin Jeshuran, iaitu bayi lelaki berusia lapan bulan di rumah beralamat No A13, Fasa 2A, Kampung Muhibbah, di sini, kira-kira jam 6 petang, 24 Julai lalu.
Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R S Vitthiyeswary, di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan, manakala tertuduh diwakili peguam, Nahthan Krishnan.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan tarikh 3 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, menerusi kenyataan berkata, polis menahan reman seorang wanita berusia 30-an sehingga hari ini, susulan kematian seorang bayi lelaki berusia lapan bulan dengan kesan kecederaan pada badan.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sungai Siput.
© Berita Harian