Bapa penyanyi Azza Elite meninggal dunia

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Bapa kepada penyanyi dan pelakon, Azza Elite iaitu Zawari Abdul Aziz, 71, menghembuskan nafas terakhir dipercayai akibat masalah jantung di Hospital Batu Gajah, Perak, jam 2 pagi tadi.

Azza atau nama sebenarnya, Noor Azzarima Zawari berkata, bapanya sudah selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam di Kuala Kangsar, jam 12 tengahari ini.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Arwah dimasukkan ke hospital di Ipoh akibat jangkitan COVID-19 pada 1 Julai lalu, namun, dibenarkan keluar selepas Aidiladha lalu.

“Secara kebetulan, jantung arwah turut bermasalah. Sepatutnya, ada rawatan susulan untuk jantung, tetapi tidak sempat. Jadi, punca kematian masih belum diketahui.

“Semalam, tahap oksigen arwah turun ke paras 70. Ketika itu, kakak, Noor Amelia Hafiza terus memanggil ambulans dan bawa ke Hospital Batu Gajah.

“Saya diberitahu, arwah masih okay ketika itu. Namun, Allah lebih sayangkan arwah dan menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan,” katanya menurut laporan portal Berita Harian.

Tambah Azza, kali terakhir berjumpa arwah ketika masih dirawat di hospital sebelum Aidiladha lalu.

“Saya berjumpa arwah sebelum keluar hospital. Namun, jika tak jumpa saya akan membuat panggilan video, setiap hari.

“Kami adik-beradik selalu bergurau dengan arwah, minta maaf pun selalu.

“Arwah selalu menasihatkan kami menjaga keharmonian adik-beradik. Itu sahaja pesanan arwah yang selalu disampaikan kepada anak-anak,” katanya.

Selain itu, Azza berkata, pemergian arwah bapanya juga umpama kehilangan doa yang berkat dalam dunia untuknya.

Bagaimanapun, katanya, dia reda dan berdoa agar arwah sentiasa dalam jagaan Allah.

Terdahulu, Azza berkongsi berita duka itu menerusi Instagram (IG) miliknya, hari ini. Menerusi hantaran IG, Azza memberitahu hatinya tersentuh melihat keadaan jenazah arwah kelihatan seperti tidur dan wajahnya yang bersih.

“Abah macam tidur sahaja, penat ya? Bersih wajah, Abah rehat tau. Abah dalam jagaan Allah sentiasa.

“Di dunia dan akhirat Allah ada untuk Abah. Tutup rapat betul mata Abah,” tulisnya.

© Berita Harian

Leave a Reply