Jambatan konkrit untuk Kampung Mansiang Baru sedang dalam perancangan untuk dibina

Hebahkan !!!

KENINGAU – Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid, Casmir Silip memaklumkan, pihaknya dalam perancangan memajukan cadangan pembinaan jambatan konkrit di Kampung Mansiang Baru.

Menurut beliau, pembinaan jambatan konkrit itu bagi memudahkan penduduk setempat menyeberangi Sungai Biah menggunakan kenderaan.

Kata Casmir, laluan di kawasan terbabit difahamkan bukan hanya digunakan penduduk bagi melakukan aktiviti harian namun ia juga menjadi laluan utama penduduk kampung berhampiran membawa keluar hasil tanaman kelapa sawit yang ditanam di Kampung Mansiang Baru.

Mengenai situasi semasa di Kampung Mansiang Baru ketika ini, Casmir berkata, kampung terbabit mempunyai jambatan aras rendah atau low level crossing yang boleh dilalui menggunakan kenderaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, laluan terbabit sukar diseberangi sekiranya paras air sungai meningkat terutama ketika hujan lebat berterusan melanda kawasan itu.

“Itu saja jalan masuk ke kampung tersebut… sungai cetek kalau tidak hujan, kalau hujan biarpun sedikit akan jadi besar jadi memang masalah kepada penduduk tapi ia lebih cepat surut,” katanya ketika ditemui pada hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, Flovia Ng berkata, pembinaan jambatan gantung buat masyarakat di Kampung Mansiang Baru di sini, akan dilaksanakan dalam waktu terdekat.

Flovia berkata, kemudahan jambatan buat penduduk di kampung itu sudah pun mendapat kelulusan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Ada penduduk Kampung Biah mengadu menghadapi kesukaran untuk keluar akibat jambatan yang tidak boleh dilalui kenderaan.

Lebih menyukarkan keadaan apabila pelajar sekolah menggunakan paip saliran air untuk menyebarang Sungai Biah untuk ke sekolah.

Leave a Reply