Lebih 30,000 pelajar gagal tamat pengajian

Hebahkan !!!

Oleh Azrin Muhammad

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2.6 peratus atau 30,904 daripada lebih 1.1 juta penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) gagal menamatkan pengajian sepanjang musim pandemik sepanjang tahun 2020 hingga 2021.

Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad berkata, sistem MyMoheS Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menunjukkan seramai 17,613 pelajar atau 2.99 peratus daripada 589,879 pelajar sedia ada telah direkodkan sebagai tidak menamatkan pengajian di IPTA bagi tahun 2021.

“Tahun sebelumnya pula merekodkan seramai 13,291 pelajar bersamaan 2.27 peratus daripada 584,576 pelajar sedia ada manakala data rasmi bagi tahun 2022 hanya akan diterbitkan secara rasmi pada awal tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan di Parlimen, Selasa lalu.

Tambah Noraini, KPT telah mengenal pasti beberapa faktor utama bagi permasalahan tersebut iaitu masalah kesihatan, masalah peribadi, gagal peperiksaan dan gagal mendaftar.

Ujarnya, KPT dan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) sentiasa prihatin dan sentiasa berusaha membantu pelajar yang menghadapi masalah-masalah berkenaan.

“Kementerian telah bersedia dan sudah mengambil inisiatif seperti menyediakan kemudahan biasiswa serta bantuan kewangan kepada golongan sasar yang layak termasuk pelajar golongan B40 dan program intervensi akademik seperti sistem penasihat akademik (PA).

“Selain itu KPT dan IPTA juga telah menjalankan program intervensi bukan akademik seperti perkhidmatan kaunseling individu dan berkelompok, sistem buddy, program motivasi, program mentor-mentee dan Academic Special Program,” katanya.

Katanya, pihak kementerian sentiasa mengambil berat dengan merancang pelbagai program dari masa ke semasa untuk membantu pelajar meneruskan pengajian mereka.

Terdahulu, pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak tahun 2020 telah memberi impak yang sangat besar dalam sejarah manusia dan sektor pengajian tinggi tidak terlepas daripada terkesan.

Pelbagai masalah dapat didengar sepanjang dua tahun kebelakangan ini khususnya melibatkan kesihatan dan kewangan ekoran wabak yang sehingga kini belum habis mengganas.

Ketiadaan peranti dan capaian internet yang sebelum ini menjadi alat utama bagi semua pelajar juga menjadi menyumbang terbesar terhadap peratusan pelajar gagal dan pihak kementerian dilihat masih belum berhenti untuk berusaha membantu para pelajar.

Leave a Reply