Kes bicara Ahmad Zahid ditangguhkan kerana saksi akhir pendakwaan dikuarantin

Hebahkan !!!

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan sekali lagi perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana saksi terakhir pendakwaan masih positif COVID-19 dan dikuarantin hingga Ahad ini.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa, berkata perbicaraan kes itu akan bersambung pada 10 hingga 12 Ogos ini seperti ditetapkan sebelum ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob memohon perbicaraan ditangguhkan kerana pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu masih tidak pulih daripada jangkitan berkenaan.

“Hari ini ditetapkan untuk sambung bicara, namun Yang Arif (hakim) dukacita dimaklumkan bahawa saksi terakhir kami masih positif COVID-19.

“Jika diizinkan, kami mohon sambung bicara kes ini diteruskan pada tarikh ditetapkan sebelum ini,” katanya pada prosiding yang turut dihadiri Ahmad Zahid.

Selain Abdul Malik, kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Zander Lim Wai Keong manakala bekas Timbalan Perdana Menteri itu diwakili peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Hisyam Teh Poh Teik serta Hamidi Mohd Noh.

Pada Selasa lalu, Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan kes rasuah itu pada hari ini, kerana saksi terbabit disahkan positif COVID-19.

Bagaimanapun, Raja Rozela berkata, tarikh baharu itu bergantung kepada tahap kesihatan pegawai penyiasat SPRM terbabit.

Pada 18 Mei lalu, bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Harry Lee Vui KhiunVisa Luar Negara (VLN).

Bayaran itu bermula akhir 2014 dengan SG$200,000 sebulan, sebelum meningkat kepada SG$520,000 sebulan pada 2017.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama ketika itu, mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Ahmad Zahid didakwa melakukan semua kesalahan itu di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

© Berita Harian 

Leave a Reply