Dasar negara, Noraini optimis wanita terlibat

Hebahkan !!!

Oleh Azrin Muhammad

KUALA LUMPUR – Penglibatan wanita dalam arena pembuat dasar politik dan keusahawanan masih jauh ketinggalan, namun hal ini akan mula berubah apabila kerajaan menerusi Suruhanjaya Sekuriti mengambil langkah radikal mulai bulan depan.

Ketua Wanita UMNO, Dato’ Dr. Noraini Ahmad berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan penuh dan tidak pernah semberono mencari jalan agar golongan wanita terlibat sama dalam proses membuat dasar dengan sasaran 30 peratus.

“Wanita UMNO mengalu-alukan komitmen dan keputusan kerajaan yang mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senarai awam.

“Perubahan besar akan berlaku apabila pelaksanaan dasar ini berkuatkuasa pada 1 September depan bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain,” katanya dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), April lalu.

Tambahnya yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, setakat ini wanita telah memegang 25 peratus daripada komposisi ahli lembaga pengarah bagi 100 buah syarikat utama, namun masih terdapat 250 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia masih belum mempunyai komposisi pengarah wanita.

Merujuk kenyataan Global Gender Gap Report 2021 (GGGP 2021) yang dikeluarkan oleh World Economic Forum (WEF), Malaysia berada di kedudukan ke-70 daripada 156 buah negara dari segi penyertaan wanita dalam sektor pendidikan diikuti sektor kesihatan di kedudukan ke-74, ekonomi di posisi ke-104 dan politik di tangga ke-128.

Dalam perkembangan sama, Noraini memberitahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga telah mengiktiraf peranan wanita sebagai calon dalam pilihan raya berbanding sebelum ini.

“Contoh terbaik adalah ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu apabila BN meletakkan 25 peratus calon wanita manakala lima calon dalam PRN Melaka pada November lalu berbanding dua calon dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

“Wanita UMNO berharap tren pencalonan tersebut dapat diteruskan dalam pilihan raya akan datang kerana amanah yang telah diberikan kepada kita bukan untuk melalaikan tetapi menjadi pembakar semangat tambah baik gerak kerja kita,” katanya.

Leave a Reply