Ternakan kelulut jana pendapatan penduduk

Hebahkan !!!

(NORAINI AHMAD ketika berucap pada majlis perasmian
Bengkel Kelulut Moden Bee-Modular Fasa 1 KPT-UTM di Parit Sulong, Batu
Pahat, Johor, baru-baru ini)

 

Oleh Rohana Man

 

BATU PAHAT – Bengkel Kelulut Moden Bee-Modular anjuran Universiti
Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi
(KPT) di Parit Sulong sejajar dengan hasrat kementerian agar universiti awam
menurunkan ilmu kepada penduduk setempat.

Menterinya, Dato’ Dr. Noraini Ahmad berkata, program seumpama itu
memberi manfaat kepada penduduk khususnya dalam usaha kementerian
menyantuni Keluarga Malaysia.

Menurutnya, inisiatif memperkasakan komuniti menerusi program
pemindahan ilmu dan teknologi perlu diteruskan institusi pengajian tinggi
awam (IPTA) sebagai sumbangan kepada pembangunan sosioekonomi
masyarakat.

Katanya, penganjuran bengkel itu juga selari dengan aspirasi kementerian agar
semua IPTA memperbanyakkan program ‘turun padang’ serta menyemarakkan
perkongsian ilmu dan kepakaran ahli akademik dengan komuniti menerusi
program University for Society@Keluarga Malaysia (UNiTY).

“Saya sentiasa menggalakkan universiti awam mengambil komuniti angkat di
kawasan tertentu, seterusnya membangunkan penduduk mengikut bidang
kepakaran masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian
Bengkel Kelulut Moden Bee-Modular Fasa 1 KPT-UTM di Parit Sulong dekat
sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dr. Mohd Zabri
Yusoff, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar dan
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Sementara itu, Dr. Fauzi berkata, kejayaan UTM menghasilkan reka bentuk
mesin yang telah terbukti dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran mi
siput daripada 80 kilogram (kg) kepada 250 kg untuk sekali pengeluaran
menjadi dorongan kepada pihak universiti untuk terus membawakan inovasi
teknologi kepada penduduk seperti projek ternakan madu kelulut di Parit
Sulong ini.

Menurutnya, langkah strategik itu terbukti membantu meningkatkan
kecemerlangan serta keterlihatan universiti kepada masyarakat awam,”
katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Komunikasi
Korporat UTM.

Mengulas lanjut projek ternakan kelulut di Parit Sulong, katanya, seramai 30
peserta yang terdiri daripada penduduk setempat telah dipilih untuk menyertai
bengkel fasa 1 pemindahan ilmu dan teknologi Bee-Modular Box.

“Bengkel ini juga membantu meningkatkan penjanaan pendapatan komuniti
dengan mengaplikasikan inovasi yang dibangunkan UTM,” katanya.
Tambahnya, matlamat utama penganjuran bengkel enam fasa itu adalah
memastikan peserta menerima ilmu mengenai asas perniagaan, pemasaran,
penjenamaan dan kaedah pengurusan sistematik teknologi kelulut moden BeeModular Box.
“Pada akhirnya, bengkel ini membantu mereka menjana pendapatan
tambahan yang lestari untuk mereka,” ujarnya.

Sementara itu, kenyataan media itu turut menyebut, UTM melalui Sekolah
Perniagaan Azman Hashim (AHIBS) berjaya menghasilkan inovasi kekotak
konkrit formulasi khas berteknologi tinggi (Bee-Modular Box) bagi
menggantikan kekotak konvensional menggunakan kayu.

Inovasi dan teknologi kekotak konkrit itu lebih berdaya tahan untuk jangka
masa panjang serta mampu menghasilkan kualiti madu kelulut yang mencapai
piawaian bertaraf antarabangsa.

“Teknologi ini mampu meningkatkan potensi pasaran madu kelulut dalam
memperkukuhkan sosioekonomi komuniti setempat, khususnya golongan
B40,” kata kenyataan itu

Leave a Reply