Hannah cemerlang di dunia

Hebahkan !!!

 

(Hannah Mumtazah)

 

Oleh Rohana Aman

SHAH ALAM – PANDEMIK Covid-19 yang memaksa pelajar institusi pengajian
tinggi awam (IPTA) seluruh negara mengikuti pengajian secara atas talian tidak
mematahkan semangat seorang pelajar wanita untuk melakar kecemerlangan
di peringkat dunia.

Pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM),Hannah Mumtazah
Ahmad Murshidi,21, mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai penerima
anugerah tertinggi dalam peperiksaan program perakaunan profesional sesi Jun
2021.

UiTM menerusi satu kenyataan memaklumkan, Hannah mendapat anugerah
tertinggi tersebut menerusi dua kertas peperiksaan iaitu Financial Management
(FM) dan Strategic Business Reporting (SBR).

Kenyataan itu menyebut, beliau berjaya mendapat tempat pertama dalam
negara dan dunia bagi kertas FM, manakala bagi kertas SBR pula, Hannah
menduduki tempat pertama dalam negara dan tempat kedua di dunia.

“Saya bersyukur sokongan berterusan daripada ibu bapa, guru dan pensyarah
menguatkan lagi semangat saya untuk belajar walaupun menghadapi cabaran
sepanjang proses pembelajaran atas talian,” kata anak gadis kelahiran Selangor
yang menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang akauntan bertauliah.

Hannah mengharumkan nama negara dengan menerima anugerah graduan
terbaik ataupun dikenali sebagai Top Affiliate dari badan perakaunan
profesional, Association of Chartered Certified Accountants, United Kingdom
(ACCA) (UK).

Beliau meraih tempat ketiga di Malaysia dan kelapan di dunia dalam kalangan
kira-kira 500 graduan negara ini dan 3,877 graduan di peringkat dunia bagi
peperiksaan yang diadakan pada Jun lalu.

Kecemerlangan beliau turut mendapat perhatian Kementerian Pengajian Tinggi
yang mengucapkan syabas dan tahniah kepadanya melalui laman Facebook
kementerian baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, disiplin diri serta kekuatan mental adalah
cabaran terbesar dihadapi sepanjang pembelajaran atas talian, selain
pengurusan masa yang baik perlu bagi memastikan sesi ulang kaji dapat diatur
tanpa mengorbankan waktu untuk diri dan keluarga.

Kenyataan itu turut menyebut, antara kunci kejayaan Hannah adalah konsisten
sepanjang semester, selain sering mengadakan perbincangan dengan
pensyarah dan rakan sekuliah.

Leave a Reply