WANITA SEMAKIN HEBAT

Hebahkan !!!

(PROF.DR. ROZIAH MOHD JANOR)

 

Oleh Rohana Man

BERMULA dengan pelantikan Profesor Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim
sebagai Naib Canselor institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama pada 15
Jun 2019, dua wanita lain mengorak langkah memegang jawatan nombor satu
dalam institusi tersebut.

Mereka ialah Profesor Dr. Roziah Mohd. Janor yang dilantik sebagai Naib
Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 6 September 2021 dan Profesor
Dr. Massila Kamalrudin sebagai Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia
(UTeM), menggantikan Raha, berkuatkuasa 21 Mac 2022.

Sebelum pelantikan ketiga-tiga wanita hebat itu, jawatan nombor satu IPTA
seperti menjadi hak mutlak lelaki apabila seorang demi seorang kaum lelaki
dilantik memegang jawatan terpenting universiti awam seluruh negara.

Sejarah penubuhan IPTA bermula kira-kira 117 tahun lalu apabila Universiti
Malaya (UM) dibuka secara rasmi pada 28 September 1905, sekali gus muncul
sebagai universiti awam (UA) pertama negara ini.

Bayangkan betapa lamanya golongan Hawa yang cemerlang dalam akademik
bekerja keras bagi membuktikan keupayaan mereka untuk dipilih menduduki
kerusi tertinggi itu.

Berkat doa, kerja keras dan usaha, akhirnya perjuangan wanita untuk
menduduki kerusi nombor satu itu membuahkan hasil apabila Raha,59;
Roziah,58, dan Massila,41, dilantik menyandang jawatan Naib Canselor.

Raha adalah wanita pertama dilantik sebagai Naib Canselor bagi menerajui
UTeM berdasarkan kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian
ketika menyandang jawatan pentadbiran utama sebagai Pengarah Bahagian
Perancangan Kecemerlangan IPTA dan jawatan sebelumnya, sama ada di
peringkat nasional atau antarabangsa.

Roziah pula sebelum ini adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan
Antarabangsa) UiTM dan memangku jawatan Naib Canselor UiTM sejak Datuk
Profesor Emeritus Ir Dr. Mohd Azraai Kassim tamat tempoh perkhidmatannya
pada 10 Mac 2021.


Manakala Massila yang merupakan profesor di Fakulti Teknologi Maklumat dan
Komunikasi UTeM adalah seorang ahli akademik berpotensi tinggi untuk
menerajui universiti itu sebagai salah sebuah UA dalam rangkaian Malaysian
Technical University Network (MTUN) di Malaysia.

Pelantikan Massila untuk tempoh tiga tahun itu menjadikan beliau sebagai
individu kedua wanita menerajui kepemimpinan tertinggi UTeM.

Massila yang merupakan Naib Canselor UTeM kelima juga dipilih kerana beliau
mempunyai aspirasi dan strategi yang jelas untuk menyuntik perubahan positif
dalam landskap pentadbiran dan pengurusan universiti tersebut.

Memiliki kelulusan akademik dari dalam dan luar negara, tentunya pelantikan
Roziah dan Massila memberi semangat kepada wanita-wanita cemerlang lain
untuk berada di kedudukan yang sama.

Apa yang menarik dan mencuri tumpuan adalah pelantikan mereka berlaku
dalam era wanita memegang jawatan tertinggi Kementerian Pengajian Tinggi.
Selaku Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad tentunya mahu
melihat golongan wanita terus diberi kepercayaan menerajui IPTA.

“Hari ini ,saya menyerahkan surat pelantikan kepada Profesor Dr. Roziah Mohd
Janor sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Mara yang baharu.

“Beliau adalah wanita pertama dilantik sebagai Naib Canselor UiTM,” kata
Noraini, dipetik dari laman Facebook beliau bertarikh 3 September 2021.

Sesuai dengan perubahan zaman yang tidak lagi membezakan pencapaian lelaki
dan wanita, idea pelantikan wanita sebagai Naib Canselor di IPTA perlu
diberikan perhatian serius dari semasa ke semasa.

Dalam hal ini, kelebihan nampaknya memihak kepada wanita apabila KPT
diterajui seorang wanita yang berjiwa besar dalam memperjuangkan hak wanita
agar berada di kedudukan tertinggi dalam carta organisasi institusi awam,
khususnya yang berada di bawah naungan KPT.

Selain itu, selaku Ketua Wanita UMNO Malaysia, tentunya Noraini mahu
melihat lebih ramai wanita hebat dalam apa sahaja bidang yang diceburi.
Jika pun ada tembok tradisi yang perlu dipecah demi mencapai misi dan visi
dalam memperjuangkan hak dan peluang wanita menggapai impian di puncak
kerjaya, tentunya usaha meruntuhkan tembok tersebut dilakukan mengikut
piawaian yang dipersetujui semua pihak.

Justeru, pemilihan dan pelantikan bagi jawatan Naib Canselor itu menepati
kualiti dan piawaian yang menjadi penanda aras sebelum surat pelantikan
diserahkan dan pelantikan diumumkan kepada khalayak.

Ini penting supaya tidak ada suara-suara sumbang mempertikaikan pelantikan
yang telah dibuat, lebih-lebih lagi ia membawa nama dan maruah diri wanita
dan institusi yang diwakili.

Tidak mudah membuat keputusan tetapi bukanlah sesuatu yang mustahil
memandangkan semakin ramai wanita yang layak dan berkebolehan telah
dilahirkan daripada sistem pendidikan negara, bermula dari tadika, sekolah
rendah, menengah, menengah tinggi, kolej, politeknik dan universiti.

Harapan kita agar pelantikan tersebut membuka laluan mudah kepada
perjalanan kerjaya paling cemerlang kepada wanita yang berada dalam sektor
pengurusan akademik IPTA.

Nampaknya pelantikan Roziah dan Massila dalam tempoh kurang setahun itu
membuka jalan kepada pelantikan lain.

Siapakah yang bakal menyusul? Kita tunggu dan lihat. Sekalung tahniah kepada
barisan wanita hebat ini dan agak luar biasa kerana Noraini selaku wanita
pertama diberi kepercayaan menyandang jawatan Menteri Pengajian Tinggi
menjadi saksi pelantikan dua wanita lain sebagai Naib Canselor IPTA, tepatnya
UiTM dan UTeM semasa beliau memegang jawatan menteri. Syabas dan

Leave a Reply