Polis Indonesia akan gali semula kubur polis mangsa bunuh rakan sekerjanya

Hebahkan !!!

JAKARTA, Indonesia – Sepasukan khas dari Unit Siasatan Jenayah, Polis Republik Indonesia akan menggali kubur dan membuka semula keranda mangsa anggota polis berpangkat sarjan yang disyaki dibunuh oleh rakan sekerjanya.

Lapor Kompas.com, ayah mangsa, Samuel Hutabarat berkata, sepasukan polis dari unit tersebut mengunjungi rumahnya bagi proses bedah siasat kali kedua itu.

“Senarai nama penggali kubur dan pembuka keranda sudah dipilih serta ditentukan semasa pertemuan pihak keluarga dengan Organisasi Pemuda Batak Bersatu Sungai Bahar.

“Saya mencadangkan lima nama bagi penggali kubur dan dua nama bagi pembuka peti keranda di hospital kepada Polis Sungai Bahar,” katanya.

Difahamkan, hanya individu yang memakai uniform khas akan dibenarkan memasuki tanah perkuburan itu.

Sebelum ini, keluarga Nofriansyah Yosua Hutabarat menggesa supaya bedah siasat kali kedua dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya sejak 8 Julai lalu.

Gesaan itu dikemukakan kepada polis selepas ahli keluarga menemukan banyak kesan luka yang disifatkan seperti ‘disengajakan’ pada badan anggota polis tersebut.

Laporan awal polis mendapati, Nofriansyah maut dalam insiden berbalas tembakan dengan Inspektor Jeneral Ferdy Sambo di kediamannya di Duren Tiga, Jakarta Selatan.

Nofriansyah sebelum itu ditugaskan melindungi keluarga Ferdy dan perselisihan faham mula timbul selepas Ferdy mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan mangsa.

Namun, keluarga Nofriansyah mendakwa, terdapat kesan luka koyakan, jerutan dan lebam selain luka tembakan pada badan anggota polis itu.

Sehubungan itu, peguam keluarga tersebut mengesyaki kemungkinan Nofriansyah dibunuh dalam kejadian terancang dan memerlukan bedah siasat kali kedua untuk memastikannya.

Leave a Reply