Reruai KPT gegar JAKM Kelantan

Hebahkan !!!

(POSTER program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia bagi menarik
kunjungan ramai ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Kelantan
yang bermula hari ini sehingga 24 Julai.)

 

Oleh Azrin Muhammad

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terus giat melaksanakan
inisiatif turun padang bagi mendekati golongan muda menerusi program Jelajah
Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) ke negeri Kelantan.

Reruai berkenaan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu
selama tiga hari, mulai hari ini sehingga 24 Julai ini. Antara lain, program itu
menyediakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan berkaitan pengajian
tinggi, kesihatan dan teknologi pertanian.

KPT melalui satu kenyataan hari ini memberitahu, orang ramai boleh
mengunjungi kawasan reruai seawal pukul 9 pagi hingga 9 malam untuk
mengambil bahagian dalam acara yang telah disediakan.

Menurut kenyataan itu, antara pengisian menarik yang boleh didapati
sepanjang JAKM adalah konsultasi program pembiayaan dan biasiswa
pendidikan tinggi, semakan status akreditasi dan permohonan pengiktirafan
pengalaman pembelajaran terdahulu (APEL) oleh Agensi Kelayakan Malaysia
(MQA).

“Selain itu, orang ramai juga boleh datang untuk membuat pemeriksaan
saringan kesihatan yang dikendalikan kakitangan Hospital Universiti Sains
Malaysia (HUSM) secara percuma, membuat semakan UPUOnline, sesi bual
bicara santai serta demonstrasi Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Acara lain yang bakal menarik minat pengunjung adalah demonstrasi dron dan
automasi robot, pameran dron pertanian, produk agroteknologi dan akuakultur,
kuiz serta cabutan bertuah,” kata kenyataan itu, di sini, hari ini.

Tambah kenyataan itu lagi, KPT juga tidak ketinggalan melaksanakan program
outreach tanggungjawab sosial korporat (CSR) di sekitar komuniti Kota Bharu
melalui pasukan sukarelawan politeknik dan kolej komuniti (PolyCC), Universiti
Malaysia Kelantan (UMK) dan HUSM.

Terdahulu, JAKM telah berlangsung di Kampung Gajah, Perak dan telah dihadiri
kira-kira 30,000 orang pengunjung sepanjang tiga hari program.

Leave a Reply