Alaska dilanda gempa bumi purata selang 10 minit

Hebahkan !!!

Negeri Alaska di Amerika Syarikat (AS) dilanda gempa bumi selang 10 minit dan merupakan lokasi gempa kedua paling kuat yang pernah direkodkan, demikian menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Menurut akhbar New York Post, bencana gempa bumi di Alaska menjadi sebahagian daripada rutin harian penduduknya disebabkan negeri itu amat aktif secara seismik.

Pegawai kanan Pusat Gempa Bumi Alaska, Natalia Ruppert berkata, keadaan itu kerana Alaska merupakan negeri terbesar di AS selain terdapat banyak pelanggaran antara lapisan Bumi.

“Lapisan Bumi bertembung di mana bongkah batu bergerak melepasi satu sama lain. Semua interaksi ini berterusan lalu menyebabkan kejadian gempa,” katanya.

Kejadian gempa bumi paling buruk pernah direkodkan di Alaska adalah pada tahun 1964 apabila gegaran kuat berukuran 9.2 pada skala Richter mengorbankan 131 orang.

“Gegaran kuat menyebabkan banyak struktur dan bangunan runtuh. Ia juga mencetuskan ombak besar tsunami,” kata Ruppert.

Kejadian gempa bumi dengan magnitud 9 disifatkan sebagai jarang berlaku, namun Pusat Gempa Bumi Alaska terus memantau pergerakan tanah menggunakan peralatan sensor.

Sementara itu, saintis-saintis di pusat tersebut berharap dapat mewujudkan sistem amaran awal seperti yang digunakan di California, Oregon dan Washington.

“Di Alaska, kami kekurangan dari segi pembangunan infrastruktur, namun kami sedang berusaha untuk mencapai matlamat tersebut,” kata Ruppert.

Leave a Reply