Dasar tangguh dan batal projek baharu antara tumpuan Sidang Parlimen hari ini

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Perancangan kerajaan berkaitan dasar menangguh atau membatalkan projek-projek baharu dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang rasmi Parlimen, soalan berhubung perkara itu diajukan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri yang mahu Perdana Menteri menyatakan perkara tersebut serta menamakan projek berkenaan dengan kos yang dijimatkan.

Turut tersenarai, soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) kepada Menteri Kanan Pertahanan yang mahu tahu bentuk perancangan kerjasama ketenteraan trilateral (TCA) antara Filipina, Indonesia dan Malaysia serta sama ada kerjasama ketenteraan akan dilanjutkan kepada negara-negara ASEAN lain.

Pada sesi soal jawab pula, Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah peruntukan untuk bantuan banjir yang telah disalurkan ke negeri-negeri terkesan bagi mangsa banjir Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022.

Selain itu, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) meminta Menteri Kanan Kerja Raya menyatakan langkah diambil bagi menangani isu 50,000 kontraktor Bumiputera yang akan gulung tikar akibat kenaikan harga barangan binaan.

Selesai sesi berkenaan, Kementerian Kesihatan dijangka membentangkan untuk bacaan kali kedua serta dibahas Ahli-Ahli Parlimen bagi Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2022.

Turut menarik perhatian, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang tersenarai di nombor enam aturan mesyuarat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini berkata rang undang-undang berkenaan dicadang untuk dibahaskan pada 27 dan 28 Julai, tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat juga mencadangkan garis masa libat urus Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bersama Ahli Dewan Rakyat kerajaan diadakan 25 Julai dan libat urus bersama Ahli Dewan Rakyat pembangkang, pada 26 Julai.

Wan Junaidi berkata setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, rang undang-undang berkenaan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di antara 11 hingga 26 Ogos untuk diperkenankan dan pewartaannya dijangka dilaksanakan antara 29 Ogos hingga 2 Sept ini.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos. – BERNAMA

Leave a Reply