Apli teraju baharu PTPTN

Hebahkan !!!

 


(APLI YUSOFF (tiga dari kiri) menerima surat pelantikan sebagai
Pengerusi PTPTN daripada Ismail Sabri Yaakob di Parlimen, semalam)

 

Oleh Azrin Muhammad

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan
terus memberi khidmat kepada masyarakat khususnya institusi pengajian tinggi
(IPT) di bawah pengurusan pengerusi baharu, Apli Yusoff.

PTPTN menerusi satu kenyataan, berkata, jawatan tersebut akan dipegang
selama dua tahun, menggantikan Datuk Wan Saiful Wan Jan yang telah
menyandang tugas sebagai Pengerusi PTPTN pada 18 Jun 2018 sehingga 17 Jun
2022.

“Apli, 52, merupakan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin
(UniSZA), Ahli Lembaga Pengarah SME Corporation Malaysia, Ahli Lembaga
Pengarah Mara Incorporated Sdn. Bhd. dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Gagasan
Kebangsaan.

“Selain itu, Apli juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Tati
Production Sdn. Bhd. dan Ahli Lembaga Pengarah PTB Securities Sdn Bhd.
sebelum ini,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, PTPTN berharap pengalaman Apli tersebut dapat
membantu tabung berkenaan menjadi sebuah agensi kerajaan yang disegani,
selain mampu merealisasikan usaha PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan
negara.

Terdahulu, Apli yang berkelulusan Ijazah Kepujian Kejuruteraan Bahan dari
Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1994 menerima surat pelantikan yang
disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen lewat
petang semalam. Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini
Ahmad.

Leave a Reply