Parlimen kecoh, usul bahas isu tuntutan waris Sultan Sulu ditolak

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat kecoh selama lebih setengah jam selepas Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati mengenai usul berhubung tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah ditolak sebanyak tiga kali oleh Yang Dipertua, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Kekecohan bermula apabila Isnaraissah Munirah Majilis@Fakharudy (WARISAN-Kota Belud) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 18(1) selepas sesi Pertanyaan Jawab Lisan tamat dan menyatakan kecewa mengenai penolakan usul berkenaan buat kali ketiga.

Isnaraissah berkata, usul itu adalah mengenai kedaulatan negara dan bukan soal remeh yang boleh diketepikan.

“Saya ingin bertanya kerajaan, sampai tahap apa yang membolehkan bahas ini dibolehkan dalam Dewan ini? Pasal Sabahkah kamu tidak peduli, sebab Sulu tuntut Sabah saja, bukan negeri lain.

“Saya mohon semua Ahli Parlimen Sabah dan Ahli Parlimen lain untuk berdiri, mohon supaya usul ini dibincangkan dalam Dewan ini,” katanya.

Kenyataan Isnaraissah mendapat sokongan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), termasuk Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai), Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) dan R Sivarasa (PH-Sungai Buloh).

Salahuddin berkata, subjudis tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak usul berkenaan kerana isu itu ketika ini mendapat liputan media yang meluas di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Ramkarpal pula berkata, banyak persoalan perlu dijawab oleh kerajaan, antaranya mengenai mengapa arahan penangguhan bagi keputusan timbang tara yang memihak kepada waris Sultan Sulu diberikan terlalu lewat dan adakah ia sedang berkuatkuasa.

“Sebab itu kita mahu usul ini didengar segera. Saya harap tuan Speaker (Dewan Rakyat) pertimbangkan semula keputusan (menolak usul),” katanya.

Azhar menjelaskan, pada sesi sebelum ini, beliau pernah mengizinkan satu usul tergempar mengenai pelupusan aset Petronas yang dirampas Sulu di Azerbaijan dibincangkan dan sudah mendapat penerangan panjang lebar daripada menteri yang bertanggungjawab iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamad.

“Mengenai subjudis, saya menerima pandangan undang-undang yang ia sememangnya subjudis kerana terdapat satu atau dua prosiding yang masih lagi berjalan. Peraturan Mesyuarat amat terang dalam perkara ini dan saya mesti memakainya,” katanya.

Bagaimanapun, jawapan itu tidak memuaskan hati Isnaraissah dan Ahli Parlimen pembangkang yang lain, sehingga menyebabkan bacaan kedua Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan terganggu.

Kekecohan terus berlaku sehingga Timbalan Yang Dipertua, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengambil alih tugas mempengerusikan mesyuarat.

Mohd Rashid mengarahkan Isnaraissah untuk duduk, namun Ahli Parlimen itu enggan dan terus mendesak supaya usul mengenai tuntutan waris Sultan Sulu diterima, sehingga menyebabkan Mohd Rashid mengarahkan beliau keluar Dewan dan digantung daripada menghadiri mesyuarat selama dua hari.

Tindakan itu membawa lebih kekecohan apabila Ahli Parlimen pembangkang terus mengkritik keputusan itu, menggesa supaya usul itu dibahaskan dan membuat halangan di sekeliling Isnaraissah dengan mendesak Mohd Rashid menarik semula keputusan menggantung Ahli Parlimen Kota Belud itu.

Malah, Ahli Parlimen Pembangkang turut membuat benteng halangan sebagai tanda solidariti bersama Isnaraissah supaya perkara itu dibahaskan.

Mohd Rashid juga memaklumkan, rayuan bertulis boleh dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 43 selepas usul itu ditolak, namun Isnaraissah berkata, ia bukan jaminan untuk usul itu diterima dan meminta tarikh supaya usul itu dapat dibawa ke dewan.

Mohd Rashid kemudian menarik balik keputusan menggantung Isnaraissah dengan syarat beliau mengikut peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu pada sidang medianya, Isnaraissah berkata, pihaknya akan mengemukakan usul tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah buat kali keempat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat selepas Yang Dipertua memberi bayangan bahawa usul itu boleh dibahaskan di Dewan Rakyat selepas ditolak sebanyak tiga kali sebelum ini.

“Kita mahu lihat kesungguhan kerajaan untuk membahas mengenai usul ini bagi menjaga kedaulatan negara…kita selesaikan perkara ini sekali terus untuk semua,” katanya.

© Berita Harian

Leave a Reply