Neymar tidak sesuai untuk wakili Manchester City

Hebahkan !!!

MANCHESTER, England – Bekas pertahanan Manchester City Nedum Onuoha percaya kelab lamanya akan melakukan kesilapan sekiranya mereka menandatangani bintang Paris Saint-Germain Neymar.

City sudah melakukan beberapa pembelian besar pada musim panas ini tetapi ia tidak menghalang mereka untuk dikaitkan dengan satu lagi perpindahan besar dalam tempoh beberapa hari lagi.

Sepanjang lima tahun bersama PSG, prestasi Neymar turun naik malah dia diejek penyokong sendiri selepas satu lagi kekecewaan dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Ketika ditanya sama ada City perlu mendapatkan Neymar, Onuoha berkata: “Tidak. Bukan kerana dia pemain yang tidak bagus. Saya rasa mereka tidak memerlukannya.

“Terutama jika dia akan bermain di sebelah kiri. Anda mempunyai Jack Grealish di situ, begitu juga Phil Foden. Untuk membawa orang baharu, yang akan membantutkan perkembangan dua pemain ini, ia tidak masuk akal.

“Saya faham reputasi dan lain-lain. Tetapi City dalam proses membina, menandatangani pemain muda. Ia untuk masa depan.

“Neymar adalah pemain hebat, tetapi ia bukan masanya untuk dia datang ke City. Dia akan menarik minat penyokong, meledak banyak gol dan membuat umpanan.

“Tetapi City mempunyai mentaliti di mana semua orang bergerak ke arah yang sama, ia bukan tentang kemahiran atau teknik, ia adalah kerja keras dan saling memahami.

“Saya tidak lihat ia sebagai langkah yang bijak,” katanya.

Leave a Reply