Naik taraf program, IPT perlu akur saranan KPT

Hebahkan !!!

Oleh Azrin Muhammad

KUALA LUMPUR – Pemansuhan atau penjenamaan program akademik di institusi
pengajian tinggi (IPT) adalah wajar, namun perlu mengikut saranan yang telah
diberikan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar
Ahmad berkata, kesemua IPT perlu membuka mata dengan saranan KPT agar
membuat kajian terperinci sebelum meneruskan usaha menambah baik
sebarang jenis program akademik.

“Sebenarnya pemansuhan atau penjenamaan program akademik di IPT bukan
perkara baharu, tetapi pihak IPT masih perlu berhati-hati membuat unjuran
terlebih dahulu sebelum melaksanakan proses berkenaan sepertimana yang
telah dinyatakan KPT.

“Saya amat menyokong proses ini dilakukan kerana kita (IPT) mahu melahirkan
graduan yang menepati kehendak industri semasa. Saya percaya jika ia
dilakukan secara berhemah, visi IPT dan KPT dapat dicapai dengan jaya.
“Oleh itu, jangan hanya mahu mengejar keperluan industri sahaja. Saya lihat,
ada program dimansuhkan secara total, sedangkan program berkenaan hanya
perlu melalui proses penjenamaan semula,” katanya ketika dihubungi My News
Online, di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad
terhadap IPT agar mengenakan proses ketat dan mengambil kira banyak faktor
sebelum menghentikan sesuatu program akademik.

Noraini juga menegaskan langkah berkenaan bukan mudah kerana melibatkan
proses kelulusan yang disaring oleh pegawai pelbagai jabatan, agensi, badan
profesional termasuk KPT sendiri.


Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia
(USM), Dr. Chai Ming Hock berkata, peranan IPT menjangkaui tenaga industri
sedia ada dan mempunyai tanggungjawab membentuk program akademik
tanpa dipengaruhi keperluan industri semata-mata.

“Kita memang sentiasa mengkaji kerelevanan program pengajian secara
berterusan termasuk keperluan industri tetapi tidak bermaksud kita (IPT) terikat
dengan kehendak industri yang pelbagai.

“Memang waktu sekarang tekanan pasaran menjadi satu isu besar, namun
universiti perlu fokus dengan peranan melahirkan pemimpin pendapat dan
bukan pembuat kandungan,” katanya.

Leave a Reply