Noraini terima ijazah kehormat di Makassar

Hebahkan !!!

Oleh Rohana Man

KUALA LUMPUR – Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad menerima
anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Kerajaan dari Universiti Muslim
Indonesia (UMI) hari ini.

Noraini menerima anugerah itu daripada Rektor UMI, Profesor Basri Modding
di Auditorium Al Jibra UMI, Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia ketika
mengadakan lawatan kerja rasmi ke Indonesia.

Anugerah itu adalah bagi mengiktiraf usaha, sumbangan dan pencapaian
Noraini sebagai seorang wanita yang dilantik sebagai menteri, tokoh politik
nasional dan pengaruhnya dalam dunia pengajian tinggi di Malaysia.

Dengan itu, Noraini menjadi individu keempat dianugerahkan Ijazah Kehormat
daripada UMI. Tiga tokoh lain yang telah menerima gelar kehormat tersebut
ialah bekas Naib Presiden Republik Indonesia (RI), Yusuf Kalla (2018), wakil
presiden RI, Ma’ruf Amin (2020) dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekhwan Toriman (2020).

“UMI tidak sekadar memberi gelar, sebaliknya memilih orang yang diakui hebat
dan cemerlang dalam bidang masing-masing, khususnya pendidikan.

“Noraini dipilih kerana selain merupakan menteri wanita, beliau juga seorang
tokoh politik nasional yang mana beliau adalah Ketua Wanita UMNO dan Ahli
Parlimen Parit Sulong selama tiga penggal. Jadi, bukan tanpa alasan gelar
tersebut diberikan kepadanya,” kata Basri dipetik daripada laporan detiksulsel.
UMI yang ditubuhkan pada 1954 merupakan universiti swasta tertua dan
terbesar di kawasan Timur Indonesia. Universiti ini merupakan antara universiti
di Indonesia yang diiktiraf kerajaan Malaysia.

Antara kursus yang ditawarkan adalah dalam bidang komputer, teknik, farmasi,
sastera, teknologi industri, ekonomi, pengajian Islam, kedoktoran pergigian,
kesihatan masyarakat, doktor perubatan, pertanian serta perikanan dan
kelautan.

Selain menerima gelar doktor kehormat, Noraini juga akan menjadi pembicara
utama dalam program Tudang Sipulung Masyarakat Bugis Global.

Wakil Rektor 5 UMI, Profesor Hattah Fattah berkata, dalam program itu, Noraini
akan melontarkan pendapatnya mengenai masyarakat Bugis agar kewujudan
masyarakat itu terus kekal dalam komuniti Sulawesi Selatan.

“Saat ini, dunia dikuasai era teknologi digital, sekali gus menjadikan ia sebagai
satu cabaran kepada warga Sulawesi Selatan.

“Kami berpendapat Noraini selaku menteri mampu menyampaikan pandangan
dan rumusan menerusi program yang telah diatur ini,” katanya.

Leave a Reply