Kerjasama akademik Malaysia-Indonesia diperkukuh

Hebahkan !!!

 

(DATO’ DR. NORAINI AHMAD (kiri) menerima cenderahati yang
disampaikan oleh Nadiem Anwar Makarim di Jakarta, Indonesia baru-baru ini)

 

Oleh Rohana Man

KUALA LUMPUR – PARA pelajar dari negara jiran, Indonesia kini berpeluang
melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini menerusi
tawaran biasiswa khas untuk mereka.

Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad berkata, penawaran biasiswa
yang dikenali sebagai Malaysia International Scholarship (MIS) itu terbuka
kepada pelajar Indonesia yang layak untuk melanjutkan pelajaran tinggi di
Malaysia.

Menurutnya, tawaran biasiswa itu adalah antara perkara yang dibincangkan
dengan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan Teknologi Republik
Indonesia, Nadiem Anwar Makarim di Jakarta.

“Ada beberapa perkara yang dibincangkan dalam lawatan kerja saya di ibu kota
Indonesia ini. Antaranya berkaitan tawaran biasiswa kepada pelajar Indonesia
yang layak untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia,” katanya dipetik dari laman
sosial Facebook beliau hari ini.

Noraini yang kini dalam rangka lawatan kerja di Jakarta, Indonesia mengadakan
kunjungan hormat di pejabat Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan
Teknologi Republik Indonesia, Nadiem Anwar Makarim di Jakarta.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk memulakan
rundingan bagi meneroka dan memperluaskan peluang kerjasama dalam sektor
pendidikan tinggi seperti program penyelidikan dan inovasi, pengajaran dan
pembelajaran, perundingan serta pembangunan komuniti.

Selain itu, turut dibincangkan ialah perkara berkaitan penawaran pembukaan
kampus luar pesisir pantai (offshore) di Indonesia kepada IPT Malaysia.
“Pelaksanaan cadangan ini nanti mampu meningkatkan penjenamaan IPT
Malaysia, selain menyebarluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang lain ke
peringkat antarabangsa,” tambah Noraini.
Sementara itu, memetik kenyataan Nadiem dalam Instagramnya, katanya,
beliau optimis melihat potensi kolaborasi itu dapat memperkuatkan programprogram Kampus Merdeka termasuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di
Indonesia.

 


Untuk makluman Kampus Merdeka adalah program persiapan kerjaya yang
komprehensif bagi mempersiapkan generasi terbaik di Indonesia. Program itu
memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengasah kemampuan sesuai
dengan bakat dan minat sebelum menceburi dunia kerja sebagai persiapan
kerjaya masa depan.

“Saya dan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia
memiliki semangat yang sama ketika membincangkan pelbagai potensi
kolaborasi bidang pendidikan tinggi di kedua-dua negara.

“Kami berharap kerjasama pendidikan tinggi terutama dalam bidang penelitian
antara Indonesia dan Malaysia dapat terus bertambah dan berkembang,”
katanya.

 

 

Leave a Reply