Ahli UMNO takkan mudah hendak serahkan parti bawah pemimpin pro-Muhyiddin

Hebahkan !!!

Oleh: Khairul Misran 

Kenyataan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa sekiranya parti itu mengadakan pemilihan tahun ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menjadi Presiden UMNO jelas satu kenyataan yang agak optimis.

Ia jelas juga bahawa Nazri adalah mungkin sebahagian dari pasukan dalam UMNO yang mahu pemilihan diadakan dahulu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan.

Ia juga jelas menunjukkan bahawa Nazri adalah sebahagian dari pasukan yang mahu Ismail Sabri ada kuasa yang total dalam kerajaan sebagai Perdana Menteri dan dalam UMNO sebagai Presiden menewaskan Presiden sekarang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Begitupun cerita di atas kertas, Presiden UMNO sekarang sudah diketahui ada asas akar umbi yang kuat bukan sahaja di kawasannya di Bagan Datuk tetapi juga seluruh negara.

Ahmad Zahid sudah banyak berjasa dalam UMNO lama semenjak menjadi Ketua Pemuda lagi beliau sudah ada pengaruh yang kuat. Lebih-lebih lagi hubungan erat dengan Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bukan mudah untuk beliau kalah.

Kalau Ismail Sabri bertanding dan kalah dan Ahmad Zahid menang peluang Ismail Sabri untuk jadi calon di Parlimen Bera juga akan tipis ekoran watikah akan diberikan oleh Presiden dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Nanti jawatan Perdana Menteri pun melepas.

Silap-silap, Ahmad Zahid yang dilihat masih kuat walaupun berdepan kes mahkamah menang dengan besar mengalahkan pencabarnya nanti.

Ahli UMNO pula bukan senang-senang akan serahkan parti untuk diterajui oleh pemimpin yang sudah ada bau-bau kaitan jadi telunjuk bekas Timbalan Presiden yang menentang UMNO dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Caci dan maki yang dibuat oleh Muhyiddin terhadap kepimpinan UMNO di atas pentas ceramah beberapa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini umpama panah tajam yang menembusi hati-hati ahli UMNO.

Para pemimpin yang menyebelahi Ismail Sabri pula tampak juga berada bawah radar kawalan Muhyiddin.

Kenyataan Nazri adalah strategi awal agaknya untuk melihat siapa yang senada dengan beliau yang berasa Ismail Sabri boleh menang dan jadi Presiden UMNO.

Jangan dek kerana pasukan ini, selepas pemilihan keputusan yang mereka mahu tidak dapat dicapai, perpecahan betul-betul berlaku dalam UMNO dan kemudian parti berbecah untuk berdepan PRU15.

Sayangilah UMNO daripada sayang pemimpin dan kedudukan kerana parti UMNO sudah pun teruji pada 2018 dan kali ini ujian yang akan dihadapi adalah lebih besar berbanding yang sebelum ini.

Leave a Reply