7 langkah bantu pelajar

Hebahkan !!!

 

 


(SEBELUM menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Sara
Hidup Siswa Keluarga Malaysia, Dato’ Dr. Noraini Ahmad meluangkan masa
makan tengah hari bersama pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia,baru baru ini)

 

Oleh Rohana Man

KUALA LUMPUR : Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil tujuh langkah
bagi memantapkan tadbir urus dan kecekapan penyaluran bantuan kebajikan
kepada pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Menterinya, Dato’ Dr. Noraini Ahmad berkata, kesemua langkah itu diputuskan
dalam Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia yang
diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Menurutnya, langkah-langkah itu diambil sejajar dengan dasar keprihatinan KPT
terhadap kebajikan pelajar IPT awam dan swasta.

“Penubuhan Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia oleh
Kementerian Pengajian Tinggi iniadalah atas dasar keprihatinan kementerian
dalam menyokong dan memantapkan tadbir urus serta kecekapan penyaluran
bantuan kebajikan kepada siswa di institusi pengajian tinggi,” katanya dalam
satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, jawatankuasa induk dipengerusikan sendiri oleh beliau,
sementara jawatankuasa pelaksana di peringkat institusi dipengerusikan oleh
naib canselor atau rektor atau pengarah.

Noraini berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat pertama yang diadakan
pada 12 Julai lalu di UKM.

“Mesyuarat ini turut dihadiri wakil pengurusan tertinggi KPT, naib-naib canselor,
wakil universiti awam, pengerusi dan wakil persatuan institusi pengajian tinggi
swasta (IPTS) serta presiden dan wakil Majlis Perunding Pelajar Kebangsaan
(MPPK),” katanya lagi.

Berikut tujuh langkah yang telah diputuskan untuk dilaksanakan di IPT.
1 . Pengusaha kafeteria dan penyedia perkhidmatan makanan di kampus IPT
awam diberikan pengecualian bayaran sewaan selama enam bulan
(moratorium) agar tanggungan kos boleh diserap bagi menurunkan harga
makanan yang dijual kepada pelajar.

2. Pelajar menikmati satu hidangan pada harga siling RM3.50 menerusi Inisiatif
Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia (Menu Keluarga Malaysia). Langkah ini
adalah di bawah inisiatif Bakul Makanan Siswa dan menu yang ditawarkan
mestilah bersesuaian serta mengambil kira kepelbagaian komposisi kaum di IPT.
Selain itu, bagi memantau kenaikan harga atau kos barangan dan perkhidmatan
yang melibatkan sara hidup siswa di IPT , Pasukan Pemantau KPT Kos Sara Hidup
Siswa (KPT Pantau) akan melaksanakan pemantauan secara berterusan .

3. Inisiatif Bakul Makanan Siswa akan diperkasakan menerusi penubuhan hab
Bakul Makanan Siswa yang berperanan sebagai pusat pengumpulan dan
pengagihan barang keperluan siswa.

Sebanyak enam hab akan ditubuhkan mengikut zon iaitu zon utara, tengah,
timur, selatan, Sabah dan Sarawak. Bagi zon tengah, UKM akan beroperasi
sebagai hab perintis.

4. Kadar upah program Job on Campus ( JoC ) di peringkat IPT akan diselaraskan.
Kadar upah ini akan diteliti semula agar selaras dengan Perintah Gaji Minimum
2022 oleh kerajaan.

Pihak IPT disaran meningkatkan jumlah penempatan JoC supaya lebih ramai
pelajar terutama golongan berkeperluan dibantu dan memperoleh manfaat
menerusi program tersebut.

5. Membangunkan Pelan Tindakan Sara Hidup Siswa. Menerusi langkah ini,
sebuah pelan tindakan yang holistik, sinergi dan mapan akan dibangunkan
sebagai panduan kepada IPT dalam usaha memperkasakan kebajikan pelajar.
Selain daripada kos makanan, pelan itu turut mengambil kira konteks sara hidup
pelajar yang lebih luas. Ini termasuklah aspek keperluan pengajaran dan
pembelajaran seperti pelan data dan peranti, penginapan,pengangkutan dan
yuran.

6. Pemberian rebat atau pengecualian cukai. KPT akan mengadakan
perbincangan lanjut bersama Kementerian Kewangan bagi melihat
kebolehlaksanaan pemberian rebat atau pengecualian cukai kepada para
penyumbang yang menyalurkan tajaan dalam pelbagai bentuk .

Antaranya termasuklah bantuan tunai , barangan atau perkhidmatan berkaitan
keperluan siswa. Ini bagi menggalakkan kolaborasi bersama pihak korporat,
industri dan orang perseorangan .

7. Memperkenalkan jadual pergerakan pengangkutan yang lebih kerap.
Menerusi langkah ini, kekerapan pergerakan pengangkutan di dalam dan luar
kampus oleh pihak IPT akan ditambah .

“Saya berharap semua inisiatif ini dapat memperkasakan kebajikan pelajar di
IPT, selain mendapat sokongan serta kerjasama penuh daripada semua pihak
termasuk warga kampus, pelajar dan agensi luar bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya” tambah Noraini.

Leave a Reply