Hari Raya Aidiladha, lebuh raya sesak, orang balik kampung

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Lebuh raya-lebuh raya utama di negara ini sesak apabila jutaan perantau terutama dari Lembah Klang mula bergerak pulang ke kampung masing-masing secara berperingkat sejak petang kelmarin.

Peningkatan kos sara hidup disebabkan kenaikan harga barangan keperluan tidak menghalang umat Islam untuk meraikan hari raya korban bersama keluarga hari ini.

Kerani swasta, Noraini Hamzah, 35, berkata, dia bertolak pulang ke kampungnya di Setiu, Terengganu kelmarin selepas habis waktu bekerja.

“Saya sekeluarga mengambil keputusan bertolak awal kerana menempuh kesesakan teruk atas jalan raya. Kami sudah tidak sabar untuk berjumpa dengan ibu bapa dan adik beradik yang lain di kampung.

“Saya tidak tahu bila lagi akan berpeluang berjumpa dengan mereka, jadi kami sambut Aidiladha bersama walaupun sedar kos sara hidup semakin membebankan,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Menurut wanita dari Damansara, Selangor itu, berkurung menyambut raya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun 2020 menyedarkan dia bahawa keluarga adalah segala-galanya.

Noraini tidak mahu episod tersebut berulang lagi dan mahu menggunakan sepenuhnya cuti raya yang singkat kali ini untuk bersama keluarga tercinta.

Sementara itu, Azzaman Kamal, 29, berkata, dia pulang ke kampung menyambut raya korban di Pasir Puteh, Kelantan pada tengah malam kelmarin.

“Saya membuat perancangan awal termasuklah berjimat cermat supaya dapat memberikan wang lebih kepada kedua-dua ibu bapa pada hari raya.

“Saya mempunyai dua anak manakala isteri pula baru diberhentikan kerja di sebuah kilang di Petaling Jaya. Walaupun diuji, tetapi kami tetap mahu pulang beraya dengan keluarga sekurang-kurangnya dapat meredakan tekanan yang dihadapi,” katanya yang bekerja sebagai pegawai pemasaran di Bangsar, Kuala Lumpur.

Di Shah Alam, pekerja swasta, Alnazril Kamil, 34, memberitahu, dia memperuntukkan sejumlah wang untuk pulang ke kampung halamannya di Kuala Kangsar, Perak.

“Sebanyak RM200 diperuntukkan untuk petrol dan tol. jumlah itu tidak termasuk per­belanjaan lain. Yang penting dapat bersama-sama dengan keluarga,” katanya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan kira-kira 1.9 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan sempena cuti perayaan Aidiladha bermula Jumaat sehingga Selasa ini.

Bagi mengelakkan kesesakan, pengguna disarankan merancang perjalanan menggunakan jadual Cadangan Waktu Perjalanan yang dikeluarkan sepanjang tempoh perayaan.

Pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum pukul 10 pagi bermula Sabtu sehingga 10 Julai.

© Kosmo Online

Leave a Reply