Wanita UMNO bantu mangsa banjir

Hebahkan !!!
Wanita UMNO Bahagian Baling menyediakan sarapan untuk mangsa banjir di Baling, Kedah, baru-baru ini.

Oleh: Rohana Man

KUALA LUMPUR – Tragedi yang mengorbankan tiga nyawa dalam kejadian kepala air dan banjir lumpur di Baling, Kedah baru-baru ini menjentik hati Wanita UMNO Malaysia untuk tampil melancarkan tabung bagi menyalurkan bantuan segera kepada mereka yang terkesan akibat bencana itu.

Menurut kenyataan, atas rasa prihatin terhadap mangsa bencana banjir itu, Wanita UMNO Malaysia melancarkan Tabung Kilat bagi menyalurkan bantuan segera kepada mereka yang terkesan akibat kejadian yang berlaku di Baling, Kedah.

Dilaporkan sebanyak 20 buah rumah penduduk mengalami kerosakan, selain kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 6 petang itu menjejaskan penduduk di Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas yang terletak di mukim Kupang.

“Orang ramai yang ingin memberi sumbangan, boleh menyalurkannya ke dalam akaun CIMB 8604795425. Tulis Bantu Baling untuk tujuan reference,” kata kenyataan yang dikeluarkan Wanita UMNO Malaysia baru-baru ini.

Kenyataan juga menyebut, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban penduduk yang kehilangan harta dan nyawa dalam tragedi yang dikatakan berpunca daripada penerokaan tanah bagi pembukaan ladang Musang King di Gunung Inas yang diluluskan pada 2019 ketika Kerajaan Negeri Kedah di bawah pimpinan Pakatan Harapan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tabung tersebut, hubungi talian 012-3860048 (Zauyah Zainuddin) atau 019-3488344 (Siti Jumaah).

Dalam satu perkembangan lain, Wanita UMNO Bahagian Baling turun padang bagi menyantuni mangsa bencana menerusi aktiviti yang diatur bagi tujuan tersebut.

Antara aktiviti yang dilakukan ialah memasak untuk memastikan semua mangsa dan petugas menerima hidangan sedia untuk dimakan.

Pada hari keempat tragedi, Wanita UMNO Bahagian Baling terus membantu mangsa banjir di setiap tempat dan kawasan yang terjejas.

Menurut kenyataaan, aktiviti memasak ditugaskan kepada ahli jawatankuasa (AJK) Wanita UMNO Bahagian Baling dari pagi sehingga petang.

“AJK terlibat juga turun padang bagi menghantar bantuan yang disumbangkan pelbagai pihak kepada mangsa banjir yang memerlukan,” ujar kenyataan yang dipetik daripada laman sosial Wanita Baling.

Selain itu, Wanita UMNO Bahagian Baling juga menghantar barang keperluan yang disumbangkan pelbagai pihak kepada mangsa banjir.

Leave a Reply