Polis berjaya tangkap suspek disyaki bunuh abang dan kakak ipar

Hebahkan !!!

IPOH – Polis berjaya memberkas lelaki yang disyaki membunuh abang dan kakak iparnya di sebuah rumah di Taman Bercham Aman, Ipoh, pada Rabu malam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 61 tahun itu diberkas di Genting Highlands, Pahang, pada jam 7.45 malam Khamis.

Menurutnya, polis turut menjumpai sebilah kapak yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk mendatangkan kematian kepada mangsa.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini untuk mendapatkan perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur jenayah, bagi membantu siasatan lanjut.

Mior Faridalathrash berkata, dengan tertangkapnya suspek dan rampasan barang kes, kes bunuh ini berjaya diselesaikan dalam masa 11 jam selepas laporan polis diterima.

Katanya, PDRM Perak mengucapkan terima kasih kepada PDRM Pahang, pengurusan Resort World Genting, media dan orang awam yang telah memberi kerjasama sehingga suspek berjaya diberkas dalam masa singkat.

Pada Khamis, pasangan suami isteri ditemui mati, dipercayai dibunuh ahli keluarga sendiri di kediaman mereka di Taman Bercham Aman, Ipoh.

Mangsa Ng Chun Hon, 64 dan isterinya, Ooi Tin Lu, 59, dipercayai dibunuh pada Rabu malam selepas berlaku pertengkaran.

Ekoran kejadian itu, polis memburu adik lelaki mangsa, Ng Chun Ming, 61, yang menghilangkan diri dengan sebuah kereta Proton Saga milik kakak iparnya.

© Astro Awani

Leave a Reply