Ketua Pemuda UMNO dakwa peningkatan OPR beri impak besar pada rakyat

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak beberapa mata asas, walaupun kelihatan kecil, impaknya kepada rakyat adalah amat besar, tegas Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Melalui cacatan di Facebook, beliau berkata, keluarga yang mempunyai beberapa pinjaman bank seperti pinjaman rumah, kenderaan dan peribadi, mungkin akan bertambah perbelanjaan bulanan sebanyak ratusan ringgit.

Para peniaga, termasuk industri besar yang mempunyai pinjaman perniagaan, tambahnya, akan terpaksa menaikkan harga barang atau perkhidmatan mereka, yang pastinya akan dibebankan kepada pengguna iaitu rakyat.

“Justeru, justifikasi kerajaan bahawa peningkatan OPR boleh mengurangkan kenaikan kadar inflasi tidak boleh diterima secara konklusif.

“Sebaliknya kerajaan perlu melihat secara lebih luas di luar kotak bagaimana menghadapi penguncupan ekonomi negara tanpa menyalurkan beban tersebut kepada rakyat secara langsung.

“Ini bukan masa yang sesuai untuk mempertimbangkan cadangan pembatalan subsidi, pengapungan harga siling dan meningkatkan kadar faedah (OPR) kerana semua ini bakal meningkatkan kadar inflasi secara langsung,” tegasnya.

Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu mengumumkan OPR dinaikkan 25 mata asas, menjadikan kadarnya ketika ini 2.25 peratus.

Kadar siling dan lantai OPR sekali gus meningkat kepada 2.50 dan 2.00 peratus.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, Malaysia sedang dalam proses peralihan fasa endemik di mana seluruh negara termasuk industri, peniaga dan semua rakyat sedang bangkit semula memperbaiki keadaan ekonomi.

“Isu kenaikan kos sara hidup harian sudah mula dirasai oleh ramai rakyat termasuk kebimbangan oleh berita-berita kemungkinan penarikan subsidi, pengapungan harga serta ketidakcukupan bekalan barang-barang keperluan harian.

“Tuntasnya, peranan kerajaan pada waktu ini adalah sangat penting dalam memastikan kadar inflasi tidak terus meningkat dengan ‘upaya menyeluruh’ bagi memastikan kos-kos berkaitan kehidupan harian rakyat tidak naik,” tegas beliau.

Asyraf berkata, sebaiknya kerajaan harus merancakkan ekonomi negara dengan meningkatkan perbelanjaan bagi peningkatan dan penambahbaikan infrastruktur, menggalakkan pelaburan, memudahkan urusan dan prosedur perniagaan, mewujudkan peluang pekerjaan dan tidak mengadakan sebarang langkah yang boleh menyebabkan kos harian rakyat meningkat.

© Astro Awani 

Leave a Reply