Filem Mat Kilau paling laris

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Memasuki hari ke-15 tayangan, filem box office, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof dilihat hampir pasti mengungguli senarai filem tempatan paling laris pernah diterbitkan dalam sejarah perfileman negara sejak naskhah pertama Laila Majnun dihasilkan pada 1933.

Angka jualan tiket filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd ini terus melonjak dengan jumlah terbaru dilaporkan lebih RM51.8 juta selepas 13 hari tayangan.

Malah, penangan Mat Kilau turut menyaksikan filem Hollywood, Top Gun: Maverick dan Jurassic World (Dominion) ‘berkubur’ dalam carta pecah panggung, membuktikan kekuatan filem tempatan dalam menarik penonton ke pawagam.

Dijangka, menghampiri hujung minggu ini, jualan tiket terus meningkat berikutan keterujaan penonton menyaksikan kisah pahlawan terbilang, Allahyarham Mat Kilau Iman Rasu ini yang hangat diperkatakan dalam pelbagai platform termasuk TikTok.

Berdasarkan jualan tiket, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan hampir pasti hampir mengatasi kutipan sebuah lagi filem arahan Syamsul, iaitu Munafik 2 sebanyak RM48 juta pada 2018. Munafik 2 sebelum ini mendahului senarai filem paling laris pernah diterbitkan di Malaysia.

Mewarisi ‘sentuhan emas’ bapanya yang diberi jolokan Six Million Dollar Man, Datuk Yusof Haslam, Syamsul berjaya mengubah persepsi ramai terhadap filem tempatan yang setanding karya antarabangsa.

Pengarah Terbaik, Festival Filem Asia Pasific Ke-57 melalui filem Munafik ini memberi sentuhan magis dalam filem epik pertamanya, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam sejak 23 Jun lalu.

Filem ini mula mencipta rekod apabila mengaut RM1 juta pada hari pertama tayangan, sekali gus mengubah iklim dunia perfileman tempatan apabila muncul filem genre epik pertama mencapai kutipan pecah panggung sebaik dipertontonkan.

Fenomena dicetuskan filem ini menyaksikan penonton berpusu-pusu ke pawagam ketika fasa peralihan endemik ini, malah ramai yang menggayakan busana klasik termasuk persalinan pahlawan seperti baju Melayu, samping dan tanjak sebagai tanda sokongan.

Meneliti rekod kutipan tertinggi filem tempatan yang dilaporkan sejak 2014, menyusuli Munafik 2, filem arahan Allahyarham Mamat Khalid, Hantu Kak Limah mengaut lebih RM36 juta pada 2018 diikuti filem animasi sentuhan Usamah Zaid Yasin, Ejen Ali The Movie yang meraih jualan tiket RM30 juta pada 2019.

Ini disusuli BoBoiBoy Movie 2 (RM30 juta), PASKAL (RM28.9 juta), Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal (RM26.2 juta), Polis EVO 2 (RM22 juta) dan Abang Long Fadil 2 (RM18.5 juta).

Turut merekodkan jualan tiket tinggi Polis EVO (RM17.7 juta), The Journey (RM17 juta), Munafik (RM17 juta) dan Ola Bola (RM16 juta).

Mengulas fenomena dicetuskan melalui filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, Yusof berbangga Syamsul berjaya membuktikan filem epik dan ikonik mampu menewaskan genre lain yang menjadi pilihan penonton, selama ini.

“Mat Kilau mencatat sejarah baharu dalam dunia perfileman tempatan apabila menjadi filem epik Melayu pertama terlaris sepanjang zaman menewaskan Munafik 2.

“Semuanya dengan izin Allah. Pengiktirafan atau kredit harus diberi kepada Syamsul dan Studio Kembara sebagai penerbit.

“Sudah tertulis inilah rezeki mereka. Saya tumpang bangga dengan kutipan hebat yang belum pernah disaksikan dalam sejarah industri perfileman tempatan.

“Kejayaan filem Mat Kilau menjadi anjakan industri perfileman dan pawagam ketika berada dalam fasa peralihan ke endemik.

“Malah, melihat kegilaan penonton terhadap filem ini, tidak mustahil kutipan lebih berganda diraih,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Yusof mencatat sejarah dalam industri perfileman apabila filem arahan dan terbitannya, Sembilu 2 lakonan Datuk Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain menjadi filem box-office Melayu pertama mencapai kutipan tertinggi RM6.1 juta pada 1994.

Dalam teruja melihat apa yang dikatakan kebangkitan semula filem Melayu, Yusof berharap kerajaan mengkaji keluhan penerbit berhubung duti hiburan 25 peratus yang dikenakan terhadap pembikin filem.

Yusof berkata, duti hiburan di Malaysia antara yang tertinggi di Asia dan seluruh dunia.

“Isu ini sudah lama menjadi kudis. Sedangkan, kita tahu pembikin filem dan pengusaha pawagam mencari untung bersama.

“Mengambil contoh, filem Munafik pernah ditayangkan di Jakarta, Indonesia termasuk bandar kecil. Namun, pembahagian keuntungan antara pawagam dan penerbit dibuat sama iaitu 50-50 sepanjang tempoh tayangan.

“Begitu juga di Thailand dan Filipina. Pengusaha pawagam di Malaysia sahaja meletakkan peratusan mengikut minggu tayangan. Bagi saya, ini tidak adil bagi filem yang memberi keuntungan besar.

“Pawagam tanpa filem, tentunya hambar, begitu juga sebaliknya. Jadi, kita harus bertimbang rasa dalam soal ini.

“Saya berharap perkongsian 50-50 antara penerbit dan pawagam dikekalkan tanpa perlu kenaikan mengikut minggu tayangan,” katanya.

Yusof berharap, kerajaan mengurangkan duti hiburan kepada tujuh peratus.

“Hari ini duti hiburan dikenakan sebanyak 25 peratus. Diakui, ia amat membebankan penerbit.

“Jadi, saya harap angka dikurangkan kepada tujuh peratus seperti yang dipraktikkan negara jiran,” katanya.

Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan diterbitkan Studio Kembara dan Skop Production Sdn Bhd dengan kos dilaporkan RM8 juta.

Menjalani penggambaran selama 100 hari di Perak, Pahang, Melaka dan Selangor. Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As’ari dan Yayan Ruhan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply