Sri Lanka kini muflis, bakal dilanda krisis ekonomi paling dahsyat

Hebahkan !!!

COLOMBO – Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe akui negara itu kini muflis dan terjerumus ke kancah krisis ekonomi yang sangat dahsyat dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

Malah lebih buruk katanya, ia dijangka berlarutan sehingga sekurang-kurangnya akhir tahun depan.

22 juta penduduk negara kepulauan itu telah mengalami inflasi yang melambung tinggi dan pemotongan tenaga berpanjangan selepas mata wang asing negara habis digunakan untuk mengimport barangan penting.

Dalam satu sesi di Parlimen pada Selasa, Wickremesinghe berkata, negara yang dahulunya makmur itu akan mengalami kemelesetan yang teruk tahun ini dan kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan secara berterusan.

Menurutnya, ia adalah realiti dan hakikat bahawa Sri Lanka perlu menghadapi kesukaran pada 2023.
Beliau berkata, rundingan bailout berterusan Sri Lanka dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bergantung pada memuktamadkan pelan penstrukturan semula hutang dengan pemiutang menjelang Ogos.

Dalam hal ini katanya, Sri Lanka ambil bahagian dalam rundingan sebagai negara muflis.

Kata Wickremesinghe, disebabkan keadaan negara yang muflis, Sri Lanka perlu mengemukakan pelan kemampanan hutang kepada IMF secara berasingan sehingga ia berpuas hati dengan rancangan itu dan mencapai persetujuan.

IMF minggu lalu berkata, lebih banyak kerja diperlukan untuk menetapkan kewangan negara dengan betul dan membaiki defisit fiskalnya sebelum perjanjian boleh dibuat mengenai pengaturan pembiayaan bagi menangani krisis imbangan pembayarannya.

Sri Lanka kini hampir tiada petrol sepenuhnya dan kerajaan telah menutup perkhidmatan awam yang tidak penting dalam usaha untuk menjimatkan bahan api.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 80 peratus orang ramai tidak makan ikut waktu kerana kekurangan makanan dan harga yang terlalu mahal.

Leave a Reply