Lelaki disyaki tikam ibu kandung direman tujuh hari

Hebahkan !!!

AYER KEROH – Seorang lelaki yang disyaki menikam ibu kandungnya sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu dekat sini direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman hingga 12 Julai terhadap suspek berusia 38 tahun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Mazana Sinin.

Penahanan reman terhadap lelaki itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu dibawa ke pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira jam 9.40 pagi dengan dikawal anggota polis sebelum dibawa keluar 45 minit kemudian.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, mangsa Rozizah Md Dom, 63, disahkan meninggal dunia di kediamannya selepas ditikam dua kali di bahagian kiri dan kanan leher oleh suspek yang juga anak sulung daripada lima beradik.

Suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan rekod rawatan psikiatri melakukan tikaman menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, suspek mendakwa bertindak demikian selepas terdengar bisikan kononnya ibunya menyembah berhala.

Mangsa yang juga seorang pesara guru juga dikatakan baharu kehilangan suami bulan lalu.

© Astro Awani

Leave a Reply