Ribuan orang cedera dalam insiden tunjuk perasaan di Uzbekistan

Hebahkan !!!

TASHKENT, Uzbekistan – Presiden Shavkat Mirziyoyev mengumumkan bahawa terdapat korban dalam kalangan orang awam dan anggota penguatkuasa undang-undang susulan tunjuk perasaan besar-besaran di Uzbekistan, lapor akhbar New York Post, kelmarin.

Seorang ahli politik pembangkang berkata, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam protes tersebut.

Menurut seorang pegawai kerajaan pula, beribu-ribu orang dimasukkan ke hospital.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan secara online, Shavkat berkata, perusuh bertindak ganas di ibu negeri wilayah Karakalpakstan, Nukus dengan membaling batu, mencetuskan kebakaran dan menyerang polis.

“Malangnya, terdapat mangsa dalam kalangan orang awam dan anggota penguatkuasa undang-undang,” katanya.

Kenyataan itu tidak menyatakan jumlah dan tahap kecederaan mangsa.

Ketua Kementerian Kesihatan Republik Karakalpakstan, Sultanbek Ziyayev memberitahu laman web berita Daryo.uz bahawa hospital-hospital di Nukus dipenuhi pesakit yang cedera selepas penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan.

“Beribu-ribu yang cedera dimasukkan ke hospital dan sedang dirawat,” kata Ziyayev, lapor laman web itu.

Gambar-gambar dari Nukus yang diterbitkan oleh laman berita Kun.uz menunjukkan penghadang jalan, trak terbakar dan kehadiran kenderaan tentera berat termasuk pengangkut kakitangan berperisai.

Seorang ahli politik pembangkang, Pulat Ahunov memberitahu bahawa terdapat laporan yang belum disahkan mengenai berpuluh-puluh lagi kematian.

Ahunov berkata, orang ramai tidak dapat bergerak dan mendapatkan maklumat lanjut kerana keadaan darurat yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa.

Protes di Uzbekistan didorong oleh usul rombakan perlembagaan yang akan melucutkan status autonomi Republik Karakalpakstan. Mirziyoyev membatalkan usul tersebut pada Sabtu lalu.

Leave a Reply