Penduduk nampak pokok dihanyutkan bersama lumpur dan air banjir

Hebahkan !!!

BALING – Beberapa buah rumah dikatakan ranap dan hanyut dalam kejadian banjir yang melanda Kampung Iboi di Kupang, di sini petang ini.

Malah, penduduk mendakwa, mereka melihat banyak pokok dari arah bukit berhampiran turut dibawa aliran air bah yang memenuhi sungai di situ.

Rakaman siaran langsung menerusi Facebook turut memaparkan keadaan sungai terbabit yang deras dan melimpah ke kawasan rumah penduduk di sepanjang tebing.

Pemilik akaun Facebook, Mohd. Mokhtar Che Man yang dipercayai penduduk di situ turut mendakwa, terdapat rumah yang terletak di tebing sungai serta jambatan lenyap akibat dihanyutkan arus deras seperti kepala air.

Sementara itu, penduduk Kampung Telok Durian, Johari Abdul Latif, 50, berkata, aliran sungai masih biasa pada peringkat awal hujan, namun didapati semakin laju tidak lama kemudian sehingga berlaku limpahan lumpur.

“Selain lumpur ada banyak pokok kayu turut hanyut bersama mungkin turun dari bukit berdekatan,” katanya yang berada di rumah rakannya di Kampung Bok ketika kejadian itu.

Menurut Johari, banjir pernah melanda kawasan berkenaan sebelum ini, tetapi kejadian kali ini dianggap paling buruk pernah berlaku.

“Sepanjang hidup saya, ini kejadian banjir paling buruk pernah berlaku kerana air sungai mengalir terlalu laju. Keadaan itu menyebabkan ramai penduduk tidak dapat berbuat apa-apa, malah ada yang masih terkejut,” katanya.

Terdahulu, sekurang-kurangnya 20 kediaman penduduk di Kupang, di sini dilaporkan terjejas akibat banjir kilat setelah hujan lebat berterusan lebih tiga jam, petang ini.

Antara kawasan terlibat adalah Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas yang menerima limpahan air dari sebatang sungai berhampiran.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, hujan dilaporkan bermula kira-kira pukul 2 petang sebelum air sungai melimpah ke kediaman penduduk yang berada berdekatan tebing.

© Utusan Online

Leave a Reply