Nyawa Zhou Guanyu diselamatkan oleh alat ‘halo’ pada jentera Formula 1

Hebahkan !!!

SILVERSTONE, Britain – Pelumba China, Zhou Guanyu yang terlibat dalam kemalangan ngeri sewaktu perlumbaan Formula Satu (F1) di Grand Prix (GP) British Ahad lepas mengakui peranti keselamatan ‘halo’ pada jentera itu telah menyelamatkan nyawanya.

Pada perlumbaan tersebut, bendera merah dikibarkan serta merta seawal pusingan pembukaan di Litar Silverstone selepas berlaku pelanggaran antara pemandu Mercedes, George Russell dan Pierre Gasly.

Kemudian, Russell yang tidak dapat mengawal jentera terus menghentam jentera Alfa Romeo yang dipandu Guanyu sekali gus menyebabkan jentera tersebut terbalik dan terseret sebelum melambung dan menghentam pagar keselamatan.

Akibat insiden tersebut, perlumbaan terpaksa dihentikan kira-kira satu jam dan selepas pemeriksaan dilakukan, pasukan Alfa Romeo mengesahkan pemandunya itu dalam keadaan baik dan sedar.

“Saya dalam keadaan baik dan halo selamatkan saya hari ini. Terima kasih semua atas ucapan anda semua,” kata Guanyu.

Halo titanium diperkenalkan F1 pada 2018 dan pada mulanya peranti keselamatan tersebut mendapat tentangan daripada pemandu kerana mengganggu pemanduan mereka, namun selepas menyelamatkan beberapa nyawa akhirnya peranti tersebut dikekalkan.

Pemandu Williams, Alexander Albon yang turut terlibat dalam kemalangan tersebut turut dikejarkan ke hospital menerusi helikopter untuk pemeriksaan lanjutan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Leave a Reply