Meninggal dunia selepas sertai persidangan perwakilan veteran angkatan tentera

Hebahkan !!!

SEREMBAN – Majlis Persidangan Perwakilan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Sembilan kali ke-68 yang berlangsung di sebuah hotel di sini dikejutkan dengan kematian seorang ahlinya di bilik hotel berkenaan pada Isnin.

Shaharuddin Abd Manan, 62, didapati meninggal dunia selepas rebah di biliknya kira-kira jam 4.30 petang.

Yang Dipertua PVATM Negeri Sembilan, Adnan Ahmad berkata, Allahyarham yang merupakan seorang duda sememangnya mempunyai penyakit jantung.

“Pagi semalam (Isnin) saya ada terserempak dengan arwah ketika sarapan pagi dan apabila saya cuba berbual dengannya, dia tiba-tiba memegang dadanya.

“Saya tahu dia ada sakit jantung, tapi selepas itu keadaannya baik saja dan arwah sempat berpesan kepada saya supaya letakkan namanya untuk sertai perbarisan PVTM nanti,” katanya semalam.

Bagaimanapun katanya, Allahyarham yang berehat di bilik hotel selepas selesai persidangan rebah selepas keluar dari tandas.

Ujarnya, Allahyarham sebelum itu sempat makan ubat.

“Kejadian ini sangat mengejutkan kami kerana ia berlangsung ketika persidangan. Jenazahnya telah dibawa pulang ke tempat tinggalnya di Kota, Rembau untuk dikebumikan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof mengesahkan menerima laporan kematian mangsa.

© Sinar Harian

Leave a Reply