Konsert Akustik M Nasir di UK pada 1997 boleh diikuti dalam satu album khas

Hebahkan !!!

Dua puluh lima tahun yang lalu, lebih 900 penonton memenuhi SEMA Group Concert Hall di Royal Northern College of Music (RNCM), Manchester, England.

Pada 2 dan 4 April 1997 itu, mereka hadir untuk menonton dan menghayati konsert akustik Datuk M.Nasir.

Persembahan anjuran Tiang Seri Entertainment bersama Luncai Emas Sdn Bhd itu dinamakan M Nasir Crossing UK’97.

Kini, selepas 25 tahun dan bagi meraikan ulang tahun konsert berkenaan, Tiang Seri Entertainment dan Luncai Emas memberikan bingkisan khas berupa sebuah album ‘live’ konsert berkenaan kepada peminat seniman bergelar sifu itu yang tidak dapat terbang ke Manchester ketika ia diadakan dahulu.

Walaupun persembahan ini diadakan 25 tahun lalu, namun ia masih relevan. Malah, ia sesuatu yang ‘rare’ dilakukan M Nasir ketika itu.

M Nasir hanya diiringi lima pemuzik iaitu Rafi (gitar akustik), Jay Jay (bass akustik), S Atan (harmonium dan akordian), Mohar (seruling) dan Ramli (rebana dan gendang Melayu).

Walaupun dilihat minimalis, tetapi bunyian yang digabungkan dengan vokal padu M Nasir menjadikan persembahan itu ‘besar’.

Penerbit album ini yang juga penganjur konsert berkenaan, Ismail Mohd Shariff berkata, bermain muzik dan menyanyi di dewan akustik SEMA Group Concert Hall itu adalah suatu pengalaman baharu dan mencabar buat M Nasir dan pemuzik terbabit.

“Ia memerlukan kemahiran tinggi dari segi permainan instrumen dan vokal kerana persembahan itu adalah akustik sepenuhnya tanpa wayar (unplugged).

“Proses rakaman yang dilakukan agak rumit di mana enam ‘ambience microphone’ digantung dari atas setiap pemuzik dan penyanyi. Semua alat muzik tidak menggunakan mikrofon atau sebarang ‘pick up’ kecuali bass akustik disambung ke ‘amplifier’.

“Vokal M Nasir menggunakan mikrofon untuk rakaman dan pembesar suara dewan. Kesimpulannya, bunyi yang dirakam secara analog adalah bunyi yang sebenar dari alat muzik dan vokal,” katanya.

Ismail yang juga penulis lirik berkata, idea untuk membawa M Nasir mengadakan persembahan di sana bermula sekitar 1996.

Ketika itu, Ismail sedang melanjutkan pengajian di Manchester bersama beberapa rakan dalam kalangan penuntut dan pekerja di sana yang juga peminat M Nasir ‘bersembang’ mengenai penyanyi legenda itu.

Mereka kerap berbincang mengenai album M Nasir bersama Kembara dan album solonya seperti S.O.L.O, Saudagar Mimpi dan Canggung Mendonan.

Secara kebetulan, setahun sebelum itu M Nasir menghasilkan album akustik ‘live’ iaitu Konsert Akar M Nasir Manifestasi Akustika yang disifatkan sebagai antara album terbaik beliau.

“Selain kerap menghayati lagu-lagu M Nasir di sana, kami mempunyai impian lebih besar untuk membawa M Nasir membuat persembahan di sana.

“Idea itu juga tercetus selepas saya menonton persembahan kumpulan Gamelan Jawa dari Amsterdam di Manchester.

“Saya berasakan sudah tiba masanya artis Malaysia keluar dari rantau Asia Tenggara sebagaimana dilakukan penyanyi dan pemuzik dari Amerika Latin, Timur Tengah, India, China dan negara Asia Tenggara lain,” katanya.

Album dengan set edisi terhad itu mengandungi dua cakera padat yang memuatkan 17 lagu yang dipersembahkan secara akustik dalam konsert itu seperti Akar Kita, Keroncong Untuk Ana, Rajawali Terbang Tinggi, Lambaian Sukma, Tanya Sama Itu Hud Hud, Berikan Nurbisa, Mustika, Apokalips, Kepada-Mu Kekasih dan Gurindam Gunung Tahan.

Turut dimuatkan ialah Ada, Anak Anak Kita, Keroncong Nostradamus, Suatu Masa, Bonda, Mentera Semerah Padi dan Kupu Kupu.

Ia juga mengandungi 50 muka surat buku memorabilia dan sehelai replika kain pemidang dari bahan ‘cotton canvas’ bersaiz A2 yang dilukis Mohd Foad Hassan.

© Astro Awani

Leave a Reply