JAWI rangka ketetapan baharu laksanakan ibadah korban

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Kesemua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dibenar melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada 10 Julai ini, bersamaan 10 Zulhijjah.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail, pihaknya membuat beberapa ketetapan baharu sempena pelaksanaan Ibadah Korban di masjid dan surau tahun ini.

“Ibadah korban dibenarkan di masjid dan surau Wilayah Persekutuan selepas selesai menunaikan solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijjah dan hari-hari tasyriq pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah 1443H sebelum berakhir waktu Asar.

“Masjid, surau dan mana-mana pihak yang melaksanakan ibadah penyembelihan haiwan korban hendaklah mematuhi peraturan atau ketetapan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Petugas-petugas korban hendaklah mempunyai tahap kesihatan tubuh badan yang baik, tidak menghidap penyakit kronik, tidak mempunyai gejala COVID-19 (batuk, sakit tekak, selesema dan demam), tidak mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19 dan bukan individu yang berada dalam Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO),” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada Ahad, 10 Julai ini.

Pengumuman rasmi itu dibuat Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd Aseral Jusman.

Mengulas lanjut, Mohd Ajib berharap semoga umat Islam dapat merebut peluang meraih ganjaran pahala.

“Melipatgandakan amalan dalam 10 hari terawal bulan Zulhijjah serta meningkatkan penghayatan terhadap ibadah korban yang dilaksanakan sebagaimana syarikat Allah S.W.T,” katanya.

© Astro Awani

Leave a Reply