Hanya PRU segera boleh selamatkan Umno, kata penganalisis

Hebahkan !!!

 

PETALING JAYA: Krisis dalaman Umno tidak akan menjejaskan peluang parti terbesar Melayu itu untuk mentadbir kerajaan, sebaliknya sokongan akar umbi akan beralih sekiranya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak dilakukan segera, kata penganalisis politik.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Umno telah terlepas beberapa ‘fasa kemenangan’ ketika rakyat berada dalam ‘mood’ baik selepas pengumuman pengeluaran wang khas daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta beberapa inisiatif kerajaan yang lain.

“Semakin dilengahkan PRU15, semakin tipis peluang untuk menang,” katanya kepada FMT. Jelasnya, rakyat kini terhimpit dengan penarikan semula subsidi dan kenaikan kos sara hidup.

Beliau berkata demikian ketika ditanya krisis dalaman Umno susulan pendedahan yang dibuat Tajuddin Abdul Rahman selepas digugurkan dari ahli majlis kerja tertinggi (MKT) serta desakan supaya Ahmad Zahid Hamidi berundur dari jawatan presiden.

Awang Azman Pawi.

Tajuddin juga mendedahkan Zahid bercita-cita menjadi perdana menteri dengan menamakan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ bagi BN, hanyalah umpan supaya PRU-15 disegerakan.

Ketika ditanya perkara tersebut, Awang Azman berkata perebutan jawatan perdana menteri tidak akan menjejaskan parti itu kerana akhirnya, jawatan itu akan diisi oleh individu yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Ia seperti isu pelantikan menteri besar Johor, tak boleh melangkaui keputusan budi bicara perkenan Sultan Johor. Isu siapa jadi perdana menteri, Umno boleh tentukan akhirnya Yang di-Pertuan Agong yang buat keputusan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Mohd Izani Mohd Zain berkata Umno perlu mengurus krisis dalaman sebelum melangkah masuk ke PRU15.

Mohd Izani Mohd Zain.

Katanya, Umno harus jujur terhadap ahli berkaitan akuan berkanun (SD) anggota Parlimen parti itu yang menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Walaupun kesetiaan ahli Umno hebat kepada mereka tapi jangan ambil kesempatan, kalau ahli dah tak ada kepercayaan, dibimbangi mereka akan tinggalkan parti dan beralih sokongan kepada parti lain,” katanya.

Jeniri Amir pula berpendapat Umno perlu menyelesaikan masalah dalaman dengan baik, dan sekiranya gagal berbuat demikian mereka mungkin menjadi pembangkang sekali lagi.

Jeniri Amir.

“Namun saya percaya Umno masih ada peluang menang, orang Melayu akan buat penilaian parti mana yang terbaik. Kedua, Dr Mahathir Mohamad tak berpengaruh seperti dulu, Muhyiddin Yassin bukan lagi perdana menteri…

“Sebab tu ada gesaan PRU dipercepatkan…akan untungkan Umno. Mereka tak harus termakan naratif pembangkang, makin lama lagi PRU makin baik,” katanya yang juga Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN).

Umno berulang kali bertegas mahu PRU15 disegerakan kerana mendakwa kerajaan yang ada sekarang sangat rapuh sehingga membimbangkan pelabur untuk datang ke negara ini.

Malah dalam pentas Konvensyen BN bersempena sambutan ulang tahun ke-48 gabungan politik itu 2 Jun lalu, Ismail berkata dia tidak akan melewatkan walau sesaat pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada RU15 sekiranya mereka sudah bersedia.

Leave a Reply