Bubar MPN, elak Muhyiddin dianggap campur urusan tadbir negara

Hebahkan !!!

Oleh : Khairul Misran

Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar dibubarkan kerana majlis berkenaan tidak menyumbang apa-apa kepada proses pemulihan negara dari krisis COVID-19 sebaliknya mewujudkan perspektif negatif orang ramai terhadap Muhyiddin.

Sepanjang fungsi MPN, beliau hanya membuat pengumuman penting seperti pembukaan sempadan negara dan perubahan dari beberapa keperluan Prosedur Operasi Standard (SOP) melibatkan wabak berkenaan.

Secara signifikan, tidak ada sebenarnya langkah yang diambil oleh MPN yang dilihat memberi kesan kepada pemulihan keadaan negara Malaysia.

Apa yang ada masa ini, orang ramai akan berpendapat Muhyiddin masih mahu mengepalai satu kumpulan yang boleh mempengaruhi atau menasihati kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dalam mentadbir negara.

Orang akan berfikir Ismail Sabri mendengar nasihat dari Muhyiddin untuk buat keputusan tentang pentadbiran negara.

Sudahlah sejak ditubuhkan tidak ada fungsi yang jelas, sekarang semakin nampak terang lagi bersuluh, MPN tidak ada peranan.

Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi seperti yang diumumkan Ismail Sabri hanya membuatkan fungsi MPN bertindih dengan fungsi pasukan khas berkenaan.

Kalau dilihat dari kesan COVID-19 dan langkah mengatasinya, Kementerian Kesihatan yang diterajui Khairy Jamaluddin dilihat memainkan peranan yang penting dan nampak kesannya di dalam negara.

Jika Muhyiddin mahu dianggap sebagai seorang pemimpin yang pernah menyumbangkan tenaganya memulihkan negara dari COVID-19 dulu, elok Muhyiddin elak dari dipandang negatif oleh rakyat.

Selagi beliau duduk di kerusi Pengerusi majlis berkenaan selagi itu orang akan berpandangan serong kepada Muhyiddin kerana seakan-akan mahu mencampur urusan pentadbiran negara.

Banyak desakan sudah kedengaran supaya MPN dibubarkan segera kerana ia sudah tidak mempunyai peranan penting lagi dalam negara.

Sejak penubuhannya, hanya selepas beberapa kali mesyuarat sahaja ada sidang media pengumuman keputusan, tapi kebanyakannya tiada. Jadi apa tugas yang Muhyiddin laksanakan di dalam majlis berkenaan.

Leave a Reply